Tol 4 lebuh raya tidak naik | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

KUALA LUMPUR: Kabinet semalam bersetuju tidak menaikkan kadar tol di empat lebuh raya tahun depan, manakala kenaikan kadar tol di enam lagi lebuh raya hanya memberi kesan minimum kepada pengguna. 

Empat lebuh raya yang tidak mengalami kenaikan tol itu ialah Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus), Jambatan Pulau Pinang, Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Ulu Klang (Prolintas) serta Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint)-Kerinchi dan Damansara Link. 

Kadar tol Lebuh Raya Seremban-Port Dickson, Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah, Lebuh Raya Kulim-Butterworth, Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura, Lebuh Raya Pintas Selat Klang Utara Baru serta Tambak Johor dan Plaza Tol Bukit Kayu Hitam, pula dinaikkan antara tujuh hingga 50 peratus bagi tempoh 2008 hingga 2010. 

Menteri Kerjaraya, Datuk Seri Samy Vellu, berkata kadar tol di empat lebuh raya itu dikekalkan tahun depan kerana ia adalah laluan utama dan digunakan ramai pengguna setiap hari. 

"Enam lebuh raya yang mengalami kenaikan kadar tol pula tidak mempunyai kadar trafik tinggi serta tidak membabitkan pengguna yang ramai," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini. 

Berikutan keputusan itu, katanya, kerajaan terpaksa membayar pampasan RM242 juta kepada empat syarikat konsesi berkenaan. 

Daripada jumlah itu, Plus menerima RM145 juta, Jambatan Pulau Pinang (RM39 juta), Sprint-Kerinchi dan Damansara Link (RM32 juta) manakala Prolintas (RM26 juta). 

Samy Vellu berkata, pemegang konsesi Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), Litrak, juga menerima pampasan RM75 juta sebagai ansuran kedua kerana mengekalkan pengurangan kadar tol daripada RM2.10 kepada RM1.60 bagi tahun depan. 

Selain itu, kerajaan membayar pampasan RM27 juta kepada pemegang konsesi Lebuh Raya Pintas Selat Klang Utara Baru kerana tidak menaikkan tol bagi tempoh 2005 hingga 2007. 

"Secara keseluruhan, kerajaan dianggar menanggung pampasan RM344 juta tahun depan kerana tol tidak dinaikkan," katanya. 

Mengenai kenaikan tol di enam lebuh raya, Samy Vellu menjelaskan, kenaikan itu hanya memberi kesan minimum kepada orang ramai, terutama kepada pemandu kereta dengan kenaikan antara 10 peratus hingga 50 peratus yang membabitkan antara 10 sen hingga RM1.36. 

Contohnya, pemandu kereta hanya membayar tambahan 10 sen di tol terbuka Plaza Tol Lukut, Negeri Sembilan dan kenaikan 30 sen. 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian