IPOH - Hanya enam bulan sahaja lagi sebelum plaza Tol Jelapang dipindahkan, satu lagi nahas berlaku di situ pagi semalam menyebabkan tujuh orang terkorban.
Tol itu akan dipindahkan ke satu kawasan satu kilometer dari situ dan projek itu dijangka siap pertengahan tahun depan, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu ketika melawat tempat kejadian itu bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali pagi semalam.
Beberapa kemalangan yang turut meragut nyawa sering berlaku di plaza tol itu yang terletak di kawasan kaki bukit, dan ini mendorong kerajaan membuat keputusan memindahkannya, demi keselamatan pengguna.
"Masalah kemalangan yang kerap berlaku di Plaza Tol Jelapang dijangka diatasi menjelang pertengahan tahun depan apabila plaza tol sedia ada dirobohkan,"kata Samy Vellu.
Di Alor Star, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid mengarahkan UMNO Kuala Kedah supaya menguruskan pengebumian dan bantuan kepada keluarga mangsa.
Ketua Wanita UMNO Kedah, Datin Salmah Mat Isa berkata, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Rafidah Aziz telah menelefon beliau memintanya menyampaikan sumbangan segera pergerakan itu sebanyak RM500 kepada setiap keluarga yang terkorban.