Sektor ekonomi perlu sedia kurang pergantungan subsidi - Najib | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

KUALA LUMPUR 10 Dis. - Kerajaan mahu semua sektor ekonomi termasuk sektor pembinaan bersedia untuk mengurangkan pergantungan mereka terhadap subsidi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini kerana subsidi menjejaskan ekonomi dan menyebabkan syarikat-syarikat tempatan menjadi begitu selesa dan tidak mampu bersaing di peringkat global.

Beliau berkata, sektor pembinaan seperti industri lain pasti akan menerima impak jika kerajaan mengurangkan atau menghapuskan subsidi, maka mereka perlu bersiap sedia.

Menurutnya, industri pembinaan adalah industri pertama yang akan menerima kesannya jika kerajaan mengurangkan subsidi berkenaan, khususnya subsidi petroleum.

"Sesetengah pihak seperti ketagih (terhadap subsidi) dan malahan subsidi tidak memberi faedah kepada kumpulan-kumpulan sasaran," katanya ketika melancarkan Pelan Induk Industri Pembinaan (CIMP) 2006-2015, yang dirangka secara bersama oleh pihak industri dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Turut hadir, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu.

CIMP mempunyai tujuh teras strategik termasuk sumber manusia, penyelidikan dan pembangunan, teknologi maklumat (IT), rantaian nilai, imej dan kesihatan.

Namun begitu, kata Najib, jika dilihat daripada aspek lain, industri pembinaan akan mendapat manfaat daripada pengurangan subsidi.

Sebarang penjimatan daripada langkah pengurangan subsidi, bermakna akan menambahkan lagi dana pembangunan, katanya.

Menurutnya, berdasarkan laporan sebelum ini, sebanyak RM23 bilion telah dibelanjakan untuk subsidi minyak dan kerugian berterusan cukai jualan pada tiga tahun sebelum ini.

Beliau berkata, jika jumlah tersebut dicampur dengan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM44 bilion setahun di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan RM18 bilion setahun yang disumbangkan oleh pelbagai pertumbuhan koridor di negara ini, ia akan membantu sektor pembinaan untuk menyumbang lebih banyak kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Najib berkata, salah satu kesan positif daripada pelaksanaan CIMP yang bermula tahun lalu ialah mengurangkan penggantungan kepada buruh asing.

Tambah Najib, pelaksanaan CIMP juga akan membolehkan syarikat pembinaan Malaysia lebih berdaya saing di peringkat global.

|"Saya yakin ini boleh dilakukan memandangkan perangkaan sehingga 2006 menunjukkan kontraktor kita telah berjaya mendapat 373 projek di 37 negara melibatkan kontrak bernilai RM56 bilion,' ujarnya.

 

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia