Sebanyak sepuluh projek daripada 531 projek yang ditawarkan Kementerian Kerja Raya (KKR) lewat disiapkan oleh beberapa syarikat kontraktor bumiputera sekitar beberapa tahun lalu sehingga Oktober 2007. Manakala sebanyak 51 projek telah siap mendahului jadual yang disediakan KKR, 132 siap sepenuhnya, dan 302 projek dijangkakan siap mengikut jadual.
?Baki daripada jumlah tersebut merupakan projek yang masih berjalan, dan secara keseluruhannya KKR berjaya menepati sasaran Rancangan Malaysia Ke 9 (RMK-9) iaitu sebanyak 10 peratus daripada kandungan projek yang di kendali KKR perlu diserahkan kepada kontraktor bumiputera,? demikian jelas Ketua Setiausaha KKR, Datuk Syed Jamal Syed Jaafar dalam sesi dialog bersama kontraktor sempena Hari Kualiti di Kompleks Kementerian Kerja Raya semalam.
Sesi dialog itu disertai kontraktor dari seluruh negeri bagi membincangkan permasalahan yang timbul dalam perniagaan masing-masing yang membabitkan peranan KKR sebagai penaung projek yang sedia ada.
Beliau berkata, kontraktor bumiputera perlu mempertingkatkan kualiti kerja dengan mengurangkan sikap negatif termasuk pemantauan yang lemah di tapak pembinaan, kekurangan kemahiran bekerja dan sabotaj oleh orang ketiga. Ini kerana perkara ini menjadi faktor penyebab kepada kemunduran syarikat kendalian bumiputera.
?Dalam perancangan akan datang, KKR menggalakkan kerjasama antara kontraktor Kelas A dan Kelas F di samping memperbanyakkan syarikat bumiputera menyertai projek di luar negara, selain menggunakan lebih banyak bahan tempatan bagi projek-projek di luar negara, selain menggunakan lebih banyak bahan tempatan bagi projek-projek akan datang yang bertujuan meningkatkan tahap ekonomi negara.
?Dengan kerjasama ini, kementerian yakin usahawan tempatan berupaya mencapai tahap tertinggi dalam bidang perniagaan khasnya. Malah, sikap kerjasama ini amat digalakkan bagi membimbing usahawan baru untuk terus yakin dalam menjayakan projek yang diberi,? ujar beliau.
Dalam majlis yang sama, Syed Jamal turut melancarkan buku Direktori Pengeluar, Pembekal, Pengusaha Kedai Hardware Dan Pengusaha Perabot Bumiputera Dan Pelan Tindakan RMK-9.
Pelancaran buku tersebut adalah untuk kemudahan usahawan tempatan bagi mempertingkatkan kualiti kerja pada masa akan datang, sekali gus menjadikan usahawan lebih memahami cara menyelesaikan masalah dengan mudah.
?KKR mengharapkan dengan adanya direktori dan pelan tindakan ini dapat membantu kontraktor Bumiputera. Bagaimanapun sebagai usahawan, mereka sewajar bijak menggunakan peluang yang diberikan kerajaan dan kementerian sebaik mungkin,? katanya selepas melancarkan kedua-dua buku tersebut.