BAYARAN SECARA ELEKTRONIK MENGGUNAKAN TAG KHAS
PETALING JAYA: Plaza tol tidak akan wujud lagi di Lembah Klang apabila sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (ML-FF) dilaksanakan menjelang akhir tahun depan, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu.
Melalui sistem ini, bayaran tol akan ditolak secara elektronik apabila kenderaan yang menggunakan tag khas melepasi palang yang dipasang dengan alat pengesan.
Samy Vellu bagaimanpun berkata, sebelum sistem itu dilaksanakan, Kementerian Kerja Raya akan menubuhkan Rumah Penjelasan Pusat Baru serta meminda undang-undang berkaitan.
"Urusan penubuhan rumah penjelasan dan cadangan pindah itu dijangka selesai dilaksanakan menjelang akhir Mac tahun depan," katanya selepas merasmikan seminar mengenai pembangunan peniagaan bagi perniagaan kecil dan mikro untuk masyarakat India, di sini, semalam.
"Sebagai permulaan, ML-FF akan diperkenalkan di lebuh raya yang sering mengalami kesesakan di Lembah Kelang seperti Lebuh Raya Ekspres Lembah Kelang Utara, Lebuh Raya Kesas dan Lebuh Raya Damansara-Puchong.
Samy Vellu berkata, Sistem baru ini yang dilangkapi kamera televisyen litar tertutup bagi memantau aliran lalu lintas, akan membantu mrngurangkan kesesakan jalan raya.
Sistem MLFF, yang digunakan, secara meluas di Eropah, Amerika, Australia, Kanada dan Singapura, dilengkapi alat pengimbas laser bagi mengesan dan mengklasifikasikan kenderaan serta menghidupkan sistem kamera bagi merakam imej setiap lorong di lebuh raya berkenaan.
Sistem itu kemudian mendebit bayaran tol dan memaklumkan kepada pengguna tentang jumlah bayaran yang dikenakan terhadapnya.