MENTERI Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu mengarahkan Lembaga Lebuh raya Malaysia (LLM) dan Penang Bridge Sdn Bhd (PBSB) menyediakan helikopter bagi mengangkat kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di atas Jambatan Pulau Pinang bagi mengelak kesesakan lalu lintas.
Beliau berkata, perkhidmatan helikopter perlu bagi mempercepatkan penyuraian lalu lintas yang terkandas berikutan kemalangan.
"Apabila ada kereta terlibat dalam kemalangan di atas jambatan, boleh guna helikopter untuk angkat dan alihkan ke tempat lain. Jadi kenderaan lain boleh bergerak lancar," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua bahagian dan cawangan MIC Pulau Pinang di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kesesakan yang berlaku di Jambatan Pulau Pinang setelah berlaku beberapa kemalangan kecil tengah hari semalam.