PM, Surayud rasmi jambatan muhibah kedua Malaysia-Thailand | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

JELI 21 Dis. - Hubungan Malaysia-Thailand hari ini memasuki fasa baru selepas 50 tahun menjalinkan persahabatan apabila jambatan kedua yang menghubungkan Kelantan dan Narathiwat dibuka dengan rasminya oleh Perdana Menteri kedua-dua negara. 

Jambatan yang merentasi Sungai Golok itu dijangka menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan mengeratkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia-Thailand. 

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan rakan sejawatnya Surayud Chulanont turut melakar sejarah dalam hubungan diplomatik antara kedua-dua negara apabila menandatangani plak perasmian di tengah-tengah jambatan yang menelan kos RM9.2 juta dan disiapkan dalam masa 11 bulan.

Dalam ucapan perasmian yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen kedua-dua negara, Abdullah dan Surayud menyifatkan jambatan kecil Bukit Bunga-Ban Buketa itu memberi kesan besar bukan sahaja terhadap hubungan antara kedua-dua negara tetapi juga antara rakyat dan usaha membangunkan kawasan sempadan.

Ia merupakan jambatan kedua yang menghubung Malaysia-Thai terutama antara Kelantan dan wilayah Narathiwat dan pembinaannya dibiayai secara bersama selepas pembukaan jambatan Rantau Panjang yang dinamakan Jambatan Muhibah, 34 tahun lalu.

Dalam ucapannya Abdullah menyifatkan jambatan itu sebagai simbol persahabatan.

"Pembukaan jambatan yang menghubungkan Bukit Bunga, Jeli dan Ban Buketa, Narathiwat akan menyumbang ke arah pertumbuhan kegiatan ekonomi dan sosial untuk kebaikan bersama penduduk kedua-dua belah sempadan.

"Jambatan ini bukan jambatan biasa. Ia adalah satu projek yang dirancang dan dikenal pasti di bawah Strategi Pembangunan Bersama kawasan sempadan yang dimulakan pada tahun 2004," katanya.

Di pihak Malaysia kata Abdullah, rakyat yang tinggal di Kelantan akan menerima manfaat serta-merta hasil pembukaan jambatan itu sejajar dengan usaha kerajaan membawa pembangunan pesat ke negeri ini.

Abdullah turut mengundang pelabur-pelabur Thailand melabur di Kelantan yang merupakan sebuah negeri dalam program pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) serta di negeri-negeri Wilayah Ekonomi Koridor Utara (Koridor Utara).

Katanya, jambatan itu akan memberikan kesan ekonomi tetapi akan turut memperkukuhkan perpaduan, keamanan serta kestabilan di selatan negara jiran itu.

"Malaysia bersedia memberi sokongan penuh dan bekerjasama dengan Thailand dalam usaha mereka mencari penyelesaian menyeluruh dan berkekalan bagi masalah-masalah yang ada di kawasan itu," katanya.

Beliau berkata, jambatan itu seharusnya menjadi lambang dan contoh bagi mengadakan usaha sama mendirikan projek-projek infrastruktur di tempat lain di masa hadapan.

Sementara itu, Surayud, dalam ucapannya, berkata walaupun jambatan kedua dibina 34 tahun kemudian, ia amat penting dalam meningkatkan kerjasama kedua-dua negara.

"Ini bersejarah kerana dibina ketika kita sama-sama merayakan 50 tahun perhubungan diplomatik antara Thailand dan Malaysia. Kerjasama erat antara penduduk kedua-dua negara akan menjadi lebih erat lagi," katanya.

Sebelum pembinaan jabatan ini, aliran keluar masuk penduduk kedua-dua negara adalah melalui bot.

Walaupun hanya sepanjang 120 meter, Surayud berkata, jambatan itu pasti akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi di kedua- dua kawasan sempadan sekali gus memajukan sistem pengangkutan serta memberi faedah kepada ECER.

Jambatan, yang mula dibina awal tahun ini melibatkan pembinaan sepanjang 740 meter dengan komponen jambatan sepanjang 120 meter dan jalan tuju kira-kira 305 meter di setiap bahagian menyeberangi Sungai Golok menghubungi Bukit Bunga dan Ban Buketa di Thailand.

Pengendalian projek itu dikawal selia bersama Jabatan Kerja Raya Malaysia dan Jabatan Lebuh Raya Thailand serta kos pembiayaan dibuat secara bersama.

Malaysia akan turut membina Kompleks Imigresen (CIQ) Bukit Bunga, bernilai RM37.2 juta, yang menempatkan bangunan pejabat empat tingkat bagi pejabat pentadbiran Imigresen, Kastam, Polis, Kesihatan, Perhutanan dan Jabatan Haiwan.

Kerja-kerja tapak kini sudah dimulakan dan ia dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia