Sekitar Banjir: Tanah runtuh | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

KOTA BHARU: Penduduk di Gua Musang dilaporkan terputus hubungan selepas satu kejadian tanah runtuh berlaku di Kilometer (km) 47 dekat Meranto yang menyebabkan laluan alternatif di Jelawang, Dabong ke Jeli, tidak dapat dilalui.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPPK) berkata, kejadian yang dilaporkan berlaku kira-kira jam 11 pagi semalam itu menyebabkan laluan terbabit tidak dapat dilalui oleh kenderaan.

Bagaimanapun, katanya, kejadian tanah runtuh itu tidak menyebabkan kemalangan walaupun nyaris mengenai sebuah kereta yang kebetulan melalui jalan berkenaan.

Katanya, usaha membaik pulih laluan itu giat dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) tetapi tidak dapat menjangkakan bila ia pulih dan dapat digunakan sepenuhnya.

Sebelum ini, jalan yang menjadi laluan pilihan iaitu Jalan Gua Musang-Kuala Krai terputus hubungan selepas kejadian tanah runtuh di Km 65.

Tambah merunsingkan apabila berlaku kejadian tanah mendap di Km 55 pada awal pagi Ahad lalu di laluan sama, yang perlu dibaiki segera bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Gua Musang, Superintendan Ahmad Termizi Abdul Haq, berkata kejadian berlaku di kawasan cerunan pada ketinggian kira-kira 50 hingga 70 meter.

Beliau berkata, runtuhan menyebabkan jalan raya di situ tertutup dengan runtuhan sepanjang 50 meter dan tidak dapat dilalui oleh kenderaan.

Katanya, kejadian itu menyebabkan semua pengguna jalan raya dari kedua-dua arah terpaksa berpatah balik.

Sementara itu, jumlah mangsa yang masih ada di Pusat Pemindahan Banjir dilaporkan berkurangan kepada 1,240 orang yang kini ditempatkan di empat pusat pemindahan, iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tumpat, SK Bunohan, SK Kelaboran dan SK Pengkalan Kubor.

Jurucakap berkata, semua mangsa adalah daripada 315 keluarga yang dipindahkan dari Tumpat.

Tarikh
Surat Khabar
Harian Metro