Helikopter atasi kesesakan | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

PULAU PINANG 22 Dis. - Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Penang Bridge Sdn. Bhd. (PBSB) disarankan menyediakan helikopter bagi mengangkat kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di atas Jambatan Pulau Pinang.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, perkhidmatan tersebut dicadangkan bagi mengelak kesesakan lalu lintas apabila berlaku kemalangan di atas jambatan. 

"Dengan adanya helikopter, kenderaan yang terlibat dengan kemalangan di atas jambatan boleh diangkat dan dialihkan ke tempat lain dengan cepat supaya kenderaan lain boleh bergerak dengan lancar.

"Jika menggunakan kaedah yang biasa ia akan memakan masa jadi, apabila masalah itu dapat diselesaikan dengan segera, maka kesesakan lalu lintas tidak akan berlaku,? katanya selepas mengadakan perjumpaan bersama Ketua-ketua Bahagian dan Cawangan MIC negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kesesakan lalu lintas yang berlaku ekoran pelanggaran kecil membabitkan beberapa kenderaan dalam dua kejadian berasingan di atas Jambatan Pulau Pinang di sini pagi ini.

Dalam kejadian pertama kira-kira pukul 11.30 pagi, lima buah kereta terlibat dalam satu kemalangan kecil di kilometer 5.2 manakala kejadian kedua pula berlaku lima minit selepas kejadian pertama membabitkan dua kenderaan di kilometer 5.4.

Kenderaan-kenderaan terbabit dipercayai telah melanggar bahagian belakang kereta antara satu sama lain ekoran kemasukan kenderaan yang banyak daripada bahagian Seberang Perai ke pulau.

Ekoran kejadian itu, kesesakan yang teruk berlaku di atas jambatan dan walau bagaimanapun ia berjaya diselesaikan beberapa jam kemudian. 

 

Tarikh
Surat Khabar
Mingguan Malaysia