Laluan perangkap pasir di lebuh raya | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

KUALA LUMPUR 19 Dis. - Polis akan mencadangkan kepada kerajaan supaya menyediakan laluan perangkap pasir di semua lebuh raya terutama yang berisiko tinggi berlaku kemalangan membabitkan kenderaan berat.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Hamza Taib berkata, ia dipercayai dapat membantu pemandu yang menghadapi masalah brek ketika berada di laluan atau selekoh merbahaya.

"Kajian secara menyeluruh akan dilaksanakan dalam masa terdekat untuk mengenal pasti penggunaan laluan perangkap pasir tersebut. 

"Perangkap ini penting memandangkan kemalangan maut terutama membabitkan masalah brek kenderaan berat sering berlaku kebelakangan ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Ops Sikap XV 2007, di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, hari ini.

Dalam kemalangan pada 11 Disember lalu, lapan orang terbunuh manakala 28 yang lain cedera termasuk empat parah apabila bas persiaran yang mereka naiki mengalami masalah brek sebelum merempuh belakang sebuah lori tangki membawa muatan susu getah ketika melalui terowong Menora menghampiri Plaza Tol Jelapang.

Kemalangan tersebut boleh dielakkan sekiranya pemandu bas berkenaan menggunakan laluan perangkap pasir yang disediakan di plaza tol itu.

Perangkap pasir sepanjang 72 meter yang dibina 50 meter dari plaza tol Jelapang itu merupakan laluan tunggal yang dibina Lembaga Lebuh Raya Malaysia setakat ini.

Hamza menambah, untuk tujuan itu, satu mesyuarat bersama akan diadakan dengan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) pada waktu terdekat ini.

Sementara itu, mengenai Ops Sikap XV, Hamza memberitahu, ia akan dilancarkan esok sehingga 2 Januari tahun depan sempena menyambut Hari Raya Aidiladha, Krismas dan sambutan tahun baru 2008.

'Ops sikap ini dilancarkan bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutama kemalangan maut sempena musim perayaan ini.

'Pada ketiga-tiga perayaan tersebut, bilangan kenderaan dijangka bertambah dan kemalangan turut meningkat memandangkan ramai orang akan pulang ke kampung untuk merayakan perayaan masing-masing,' jelasnya.

Tambah beliau, fokus utama Ops Sikap XV ialah memastikan aliran trafik berjalan lancar dan memberi keselesaan perjalanan kepada penguna.

Menurutnya, seramai 4,939 pegawai dan anggota ditugaskan dalam membuat rondaan dengan kereta biasa untuk memantau pemandu yang melakukan kesalahan trafik pada Ops Sikap kali ini.

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia