KOTA BHARU 23 Dis. - Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan sedang bertungkus lumus 24 jam menyiapkan laluan baru di Kilometer 55 dan 65 Jalan Kuala Krai-Gua Musang yang terputus akibat mendapan tanah 16 Disember lalu bagi membolehkan ia buka selewat-lewatnya Selasa ini.
Ia perlu disegerakan berikutan laluan Meranto-Jeli melalui Dabong yang dijadikan alternatif turut mengalami kejadian tanah runtuh semalam dan terpaksa ditutup kepada semua kenderaan.
Kejadian itu menyebabkan laluan keluar masuk ke Kota Bharu terputus kerana laluan Kuala Krai-Gua Musang merupakan jalan utama ke Kuala Lumpur. Kejadian tanah runtuh semalam menyebabkan ribuan pengguna yang dalam perjalanan pulang ke ibu kota selepas berhari raya terpaksa berpatah balik.
Pengarah JKR Kelantan, Adnan Ibrahim berkata, pihaknya baru menerima laporan berhubung kejadian semalam dan akan membuat penilaian dahulu sebelum kerja-kerja membaik pulih dilakukan yang dijangka mengambil masa lebih panjang.
Beliau berkata, setakat ini laluan alternatif itu ditutup terus kepada semua kenderaan untuk mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
Katanya, pihaknya akan berusaha secepat mungkin untuk membuka satu laluan baru bagi memberi kemudahan kepada pengguna jalan raya melalui jalan Kuala Krai ke Gua Musang.
"Sekiranya didapati kawasan itu selamat dan boleh digunakan, kita akan membuka kedua-dua laluan kepada orang ramai," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ditanya mengenai kerja-kerja membaik pulih di laluan alternatif itu, Adnan memberitahu, pihaknya akan membuat penilaian terlebih dahulu dan hanya memberi tumpuan kepada kerja di laluan Jalan Kuala Krai-Gua Musang kerana ia merupakan laluan utama untuk ke Kuala Lumpur.
Beliau turut menasihatkan pengguna supaya menggunakan laluan yang dibenarkan untuk mengelak berlakunya kejadian yang tidak diingini di kawasan-kawasan yang tidak ketahui keadaannya dengan jelas.
Orang ramai juga diminta supaya tidak cuba melalui jalan yang ditutup itu bagi mengelakkan gangguan kepada kerja-kerja pembinaan jalan lencongan.
Sementara itu, Jurutera JKR Jajahan Gua Musang, Mohd. Suhaili Ismail meminta orang ramai menggunakan laluan alternatif Jalan Gua Musang-Kuala Berang untuk ke bandar Gua Musang yang terputus hubungan dengan jajahan lain di negeri ini.
"Mereka yang ingin ke Kuala Lumpur dari Kota Bharu boleh melalui Lebuh Raya Timur-Barat atau jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu," katanya kepada pemberita.