JKR negeri diarah baiki jalan secara bersepadu | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

KUALA LUMPUR: Jabatan Kerja Raya (JKR) peringkat negeri diarah bertindak secara bersepadu dalam menangani masalah kerosakan infrastruktur, terutama jalan raya akibat hujan lebat dan banjir sejak kebelakangan ini. 

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu, berkata arahan terbaru itu dibuat bagi memastikan tugas untuk memperbaiki kerosakan yang dialami tidak hanya menjadi tanggungjawab pegawai negeri terbabit saja. 

"Jangan tunggu pegawai Kelantan saja bekerja jika berlaku kerosakan jalan di negeri berkenaan, sebaliknya pegawai di Terengganu dan Perak juga boleh bantu menangani masalah rakyat. 

"Jika sebelum ini, setiap negeri hanya bertanggungjawab menjaga dan menangani masalah pada peringkat negerinya saja, bagaimanapun dengan arahan terbaru ini diharap kerja yang dijalankan lebih bersepadu dan dapat meningkatkan kerjasama jabatan antara negeri," katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 

Beliau diminta mengulas kejadian jalan runtuh di Jalan Gua Musang-Jeli di Kilometer 45 di Bukit Meranto, kelmarin yang menyebabkan ribuan pengguna dari beberapa jajahan di Kelantan terkandas terutama yang dalam perjalanan pulang ke ibu kota selepas menyambut Aidiladha. 

Jalan terbabit menjadi laluan alternatif dari Gua Musang ke Kota Bharu selepas jalan utama, Jalan Gua Musang-Kuala Krai ditutup kepada semua kenderaan berikutan mendapan di Kilometer 55 dan Kilometer 65, sejak seminggu lalu. 

Berikutan penutupan kedua-dua jalan terbabit, pengguna dari Kota Bharu, Pasir Mas, Bachok, Tanah Merah, Machang, Tumpat dan Kuala Krai yang ingin ke utara, selatan atau Kuala Lumpur dinasihatkan menggunakan Lebuh Raya Timur-Barat atau jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu. 

Samy Vellu berkata, kerjasama antara JKR negeri itu penting bukan saja untuk memastikan masalah rakyat ditangani dengan berkesan, malah membuktikan penyelarasan tugas yang bersepadu pada semua peringkat jabatan. 

"Paling penting sistem penyampaian kita dapat diterima rakyat dan mampu memanfaatkan semua pihak," katanya. 

Mengenai kerosakan dan peruntukan untuk memulihkan kerosakan infrastruktur akibat banjir di beberapa negeri, beliau berkata, laporan terperinci mengenainya dijangka diserahkan kepadanya Rabu ini. 

Beliau berkata, ketika ini, pegawainya sedang membuat taksiran kerosakan yang dialami di semua negeri terbabit bagi memastikan masalah yang dialami penduduk tidak berlarutan untuk jangka panjang. 

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian