Jalan alternatif ke KL sesak | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

GUA MUSANG: Ratusan pemandu kenderaan bersesak untuk melalui jalan alternatif Kampung Kemubu-Jerek untuk ke Kuala Lumpur sebaik laluan itu dibuka petang kelmarin. 

Jalan kampung itu kini dijadikan laluan alternatif selepas dibaik pulih Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan berikutan berlaku runtuhan Jalan Gua Musang-Kuala Krai dan Gua Musang-Jeli. 

Laluan alternatif itu menjadi pilihan kerana jarak perjalanan lebih singkat antara Kota Bharu dengan Kuala Lumpur berbanding jika memilih laluan Jalan Raya Timur Barat atau Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu. Jalan Kampung Jerek-Kemubu sebelum ini turut rosak akibat runtuhan bukit tetapi pembersihan yang selesai petang kelmarin, membolehkan ia dilalui semua kenderaan. 

Usaha baik pulih laluan kampung itu diawasi sendiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggeri, Md Yusoff Ab Ghani, yang berusaha memastikan penyelesaian segera diusahakan supaya pengguna tidak terkandas. 

Ketika ditemui di lokasi, Md Yusoff berkata, beliau bersimpati dengan masalah dihadapi orang ramai yang terpaksa merempuh pelbagai halangan untuk meneruskan perjalanan ke ibu kota melalui Gua Musang.

"Kita bertindak membaik pulih kejadian bukit runtuh di sini kerana sedia maklum laluan utama Jalan Gua Musang-Kuala Krai belum dibuka kepada orang ramai kerana kerja membina jalan lencongan belum siap sepenuhnya. 

"Laluan utama dijangka dibuka esok dan kita berusaha mengatasi masalah pengguna terkandas dengan membenarkan mereka melalui Jalan Jerek-Kemubu petang semalam (kelmarin)," katanya. 

Md Yusoff berkata, tanah runtuh di Kilometer 45 Jalan Gua Musang-Jeli dekat Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Meranto itu sudah diserah kepada pihak berkuasa untuk dibaiki. 

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian