GUA MUSANG: Kenderaan berat masih dilarang menggunakan Jalan Gua Musang-Kuala Krai walaupun laluan terbabit dibuka kepada kenderaan sejak pagi kelmarin.
Tindakan itu diambil Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai langkah keselamatan kerana pembinaan lencongan di Kilometer 55 dan 65 itu masih belum siap sepenuhnya walaupun sudah dibuka kepada kenderaan ringan.
Jalan lencongan di Kilometer 55 dibuka dua lorong, manakala di Kilometer 65 jalan hanya dibuka satu lorong, membuatkan laluan itu belum sesuai untuk dilalui kenderaan berat.
Pengarah JKR Kelantan, Adnan Ibrahim, berkata kerja membaiki Jalan Kota Bharu ke Kuala Lumpur melalui Kuala Krai-Gua Musang itu masih dijalankan walaupun sudah dibuka untuk kenderaan ringan.
"Kenderaan berat diminta menggunakan laluan alternatif lain seperti laluan Kuala Terengganu atau Jalan Raya Timur Barat menuju ke Kuala Lumpur atau Kota Bharu.
"Pemandu yang mahu mengelak kesesakan dinasihatkan menggunakan laluan alternatif di antara dua destinasi terbabit," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.