KUALA LUMPUR: Plaza Tol Jelapang Ipoh, perak, yang mencatat rekod kemalangan paling tinggi bagi laluan Lebuh Raya Utara-Selatan, akan dirobohkan Julai tahun depan.
Ketua pegawai Operasi Plus Expressway Berhad (Plus), Nik Airina Nik Jafaar, berkata ia akan digantikan dengan plaza tol baru dikenali sebagai Plaza Tol Ipoh Utara terletak 800 meter dari Plaza Tol Jelapang.
Beliau berkata, pembinaan plaza tol baru itu yang dimulakan sejak Mei 2005, kini sudah 60 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya pada Julai tahun depan.
"Projek plaza tol baru itu membabitkan pembinaan dua jalan baru bebas tol sepanjang 14.7 kilometer pada setiap hala dan dilengkapi beberapa ciri keselamatan tambahan bagi memastikan perjalanan pengguna lebih selesa dan selamat.
"Kos membangunkan ciri keselamatan di kawasa itu ialah RM2.4 juta, antarnya papan tanda amaran dan pembinaan lorong kecemasan pasir kerikil sepanjang 72 meter.
"Lorong terbabit dibina bagi memudahkan kenderaan yang bermasalah berhenti seterusnya tidak menggangu aliran trafik dan meningkatkan lagi tahap keselamatan," katanya ketika menyampaikan taklimat untuk akhbar kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), di Balai Berita, di sini, semalam.
Turut hadir, Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Manja Ismail; Pengurus Besar Perhubungan Korporat dan Jabatan Pemasaran Plus, Khalilah Mohd Talha serta Pengarah Projek Lorong Ketiga Plus, Zakaria Ahmad Zaibidi.
Nik Airina berkata, plaza tol baru itu bukan saja mempunyai laluan tanpa tol untuk penduduk tempatan, malah menyediakan laluan terus tanpa henti untuk pengguna dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur.
Kos keselamatan kerja merobohkan plaza tol sedia ada, pembinaan plaza tol dan laluan baru serta bangunan penyeliaan dianggar menelan belanja kira-kira RM280 juta.
Mengikut rekod, Plaza Tol Jelapang di Kilometer 266.3 sehingga kini sudah meragut 12 nyawa selain mengakibatkan 74 lagi parah sejak 2003, termasuk kejadian terbaru 11 Disember lalu menyebabkan lapan maut.
Statistik dikeluarkan Plus menunjukkan 87 daripada 142 kemalangan di lokasi itu berlaku kerana brek gagal berfungsi.
Dalam perkembangan lain pengguna yang ingin pulang sempena cuti perayaan Aidiladha dan Krismas disaran mematuhi jadual perjalanan diatur Plus yang boleh di peroleh melalui laman web www.plus.com.my atau menghubungi Plusline di talian 1800 88 0000.