KUALA LUMPUR : Datuk Seri Najib Razak mengesyorkan Kementerian Kerjaraya Menyelaras program pertukaran pelatih dengan negara luar yang lebih maju dalam bidang kemahiran atau kepakaran terkini bagi meningkatkan keupayaan modal insane tenaga kerja tempatan.
Timbalan Perdana Menteri menegaskan pembangunan masa kini tidak boleh lagi berpaksikan falsafah ekonomi lama berteraskan tenaga buruh, modal dan keluasan tanah, sebaliknya modal insan sekarang perlu mempunyai penguasaan teknologi dan berinovasi.
?Tenaga kerja zaman sekarang perlu memiliki keupayaan tinggi dan berpengetahuan bagi melakukan pengisian ilmu mengikut tuntutan semasa selain memiliki etika kerja. Kesungguhan melaksanakan tugas yang diamanahkan menjafi faktor penentu kejayaan sesebuah negara.
?Perubahan globalisasi kini semakin mementingkan budaya ketepatan. Teknologi terbaru bukan lagi menggunakan ukuran inci atau milimeter tetapi sudah ada perkiraan lebih kecil seperti mikron atau yang lebih halus lagi seperti bidang teknologi nano.
?Sehubungan itu, bagi memastikan modal insan kita bertaraf dunia, kita perlu menetapkan tanda aras mengikut perkembangan terkini teknologi antarabangsa,? katanya ketika berucap pada majlis makan malam Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2007, di sini malam tadi.
Hadir sama Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu.
Acara tahunan itu adalah bagi meraikan pemenang Pertandingan Kemahiran Malaysia Ke-17 anjuran kementerian Kerja Raya dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pelajaran serta Kementerian Belia dan Sukan.
Pertandingan itu juga mendapat sokongan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) selain beberapa sektor perindustrian dan pembuatan tempatan sebagai kalangan golongan muda yang baru memasukki alam perkerjaan.
Najib berkata pertandingan seumpama itu harus menjadi pengukur tahap kemahiran modal insan tempatan berbanding negara maju dan negara serantau yang menjadi saingan utama dalam merebut peluang ekonomi era globalisasi.
Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2007 menjadi milik Giatmara Sdn Bhd yang dinobatkan Institusi Terbaik Pertandingan Kemahiran Malaysia ke-17 dan menerima pingat emas, hadiah wang tunai RM 5,000 serta sijil.
Majlis yang sama turut meraikan dua pemenang Medallion of Excellence dalam Pertandingan Kemahiran Sedunia ke -39 di Shizuoka, Jepun, November lalu.
Mohd Yunus Ismail memenangi pertandingan reka bentuk grafik, manakala Meor Aziszan Mohd Arbee memenangi kategori pendawaian.