Malaysia Bantu Thailand bangunkan sempadan | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

MALAYSIA sedang mambantu Thailand merangka rancangan pembangunan di sempadan bersama dalam usaha meningkat taraf hidup rakyat kedua-dua negara, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata atas permintaan Thailand,kerajaan sedang memperincikan program pembangunan yang boleh dilaksanakan di utara Kelantan khusunya daerah Jeli dan Selatan Thailand khususnya Wikayah Narathiwat.

"Ia merupakan hasrat kerajaan Thailand yang mahu lihat adanya pembangunan di Selatan Thailand terutama yang ada hubung kait dengan pembangunan modal insane dan kemahiran.

"Kita telah merancang beberapa program berkaitan dengan ekonomi dan pembangunan social (dan) bila siap nanti kita akan bincang semula dengan kerajaan Thailand yang mana yang boleh memanfaatkan kedua-dua negara? katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada 109 mangsa banjir di Sekolah Kebanggsaan (SK) Gelang Mas di sini semalam.

Pada Majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga Zulkairi Yusof, 28, yang meninggal dunia akibat digilis traktor ketika membantu mangsa banjir berpindah pada Rabu lepas.

Turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapha Mohamed dan pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa.

Pada sebelah pagi , Abdullah bersama rakan sejawatnya dari Thailand Surayud Chulanont, merasmikan jambatan kedua menghubungkan kedua-dua negara merentasi Sungai Golok.

Beliau berkata, pembinaan jambatan itu bakal menggalakkan pertumbuhan ekonomi  selain mengeratkan lagi hubungan dua hala.

Ia juga menjadi pemangkin pembangunan di kawasan Segi Tiga Pembangunan Indonesia, Malaysia, Thailand, kata Perdana Menteri.

Terdahulu dalam ucapannya, Abdullah berkata  pembinaan jambatan itu membuktikan kerajaan benar-benar mahu memajukan semua negeri yang masih terbelakang seperti Kelantan.

"Kita tidak hanya membuat janji kosong. Yang penting, kita nak hapuskan kemiskinan (Kerana) agama Islam sendiri tidak suka kepada kemiskinan kerana ia boleh membawa kepada kekufuran.

" Insya-Allah menjelang 2010, negara kita akan bebas daripada kemiskinan tegar. Kita telah pun melaksanakan gerakan-gerakan kearah mencapai   matlamat itu," katanya.

Dalam satu majlis ringkas sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur petang semalam Abdullah menyerahkan 2,000 kampit beras sumbangan sebuah syarikat swasta di sini kepada mangsa banjir di negara Kelantan.

Beras itu diserah kepada Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan, Shukri Mohd Salleh di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, di sini.

Dalam lawatan sehari beliau ke negeri ini, Abdullah turut menghadap Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra di Istana Negeri.

Tarikh
Surat Khabar
Sinar Harian