Amal etika kerja kuat perkukuh daya saing | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

Kuala Lumpur 18 Dis. -  Datuk Seri Najib Tun Razak mahu golongan pekerja di negara ini mengamalkan etika kerja kuat dan budaya ketepatan bagi melahirkan Bangsa Malaysia yang berdaya saing.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, etika dan budaya tersebut sekiranya sentiasa diamalkan dapat menjadi penentu kejayaan kepada Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju.

"Penguasaan teknologi dan keupayaan inovasi dapat melahirkan pekerja yang mampu menghasilkan atau meningkatkan daya pengeluaran negara ke tahap pertumbuhan lebih besar.

"Justeru, kita perlu mencari jalan supaya pembangunan keupayaan diberi perhatian dalam konteks menjurus ke arah pengisian matlamat negara,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Malam Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2007 sempena Pertandingan Kemahiran Malaysia ke-17 di sini, malam ini.

Pertandingan anjuran Kementerian Kerja Raya Malaysia itu disertai oleh 750 peserta dan dibahagikan kepada 10 sektor industri membabitkan 30 bidang kemahiran.

Turut hadir ialah Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Velly.

Najib berkata, hasil kerja oleh para peserta pertandingan tersebut amat membanggakan dan mereka telah menunjukkan tahap kreativiti serta imaginasi yang begitu tinggi.

"Dalam konteks teknologi hari ini, kita tidak lagi mengukur mengikut inci atau milimeter tetapi mikron iaitu perkiraan yang lebih halus.

"satu daripada bidang yang kini semakin berkembang dan amat strategik adalah nanoteknologi,"jelasnya.

Beliau turut mengesyorkan supaya Kementerian Kerja Raya memperkenalkan program pertukaran pekerja dengan negara-negara yang lebih maju dalam bidang kemahiran.

Pada majlis tersebut, Najib menyampaikan Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2007 yang dimenangi oleh Giatmara Sdn. Bhd. kepada Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Brig. Jen. (B) Datuk Seri Abdul Hamid Zainal Abidin.

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia