GUA MUSANG: Ratusan pengguna jalan raya yang terkandas dan terpaksa bermalam di tempat kejadian tanah mendap di Kilometer 65, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, sejak petang kelmarin, mengakui tersilap menerima laporan kononnya jalan berkenaan boleh dilalui.
Bagaimanapun, sebaik tiba ke kawasan berkenaan, jalan itu ditutup kerana hubungan terputus dan kerja pembinaan jalan lencongan sedang dijalankan.
Malah, sebelum itu, kebanyakan pengguna jalan raya dikatakan mendengar khabar angin jalan itu boleh dilalui walaupun tanah mendap dan mereka mengambil kesempatan melalui jalan berkenaan selepas jalan alternatif Gua Musang-Jeli yang turut ditutup pagi kelmarin, kerana kejadian sama.
Jalan mendap sedalam 20 meter di Kilometer 45, Jalan Gua Musang-Jeli itu berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika pengguna sesak melalui jalan itu untuk ke Gua Musang dan Kuala Lumpur selepas pulang menyambut Aidiladha di kampung.
Bagaimanapun, dalam kejadian itu, tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan.
Ismail Hamid, 58, berkata, dia bersama keluarga bermalam di tempat kejadian di Kilometer 65, Jalan Gua Musang-Kuala Krai kerana tidak sanggup berpatah balik meneruskan perjalanan ke Gua Musang melalui Jalan Kuala Berang.
Dia berkata, kesilapannya tidak menghubungi terlebih dulu Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang untuk mendapat maklumat terkini mengenai laluan perjalanan itu menyebabkan terkandas, sejak petang kelmarin.
Menurutnya, bukan sahaja kenderaan yang tidak boleh lalu, malah orang ramai yang ingin berjalan kaki melintasi kawasan tanah mendap itu juga dihalang pihak keselamatan kerana terdedah kepada bahaya.
"Kami tidak sanggup berpatah balik. Lebih baik bermalam di sini sementara menunggu pembinaan jalan lencongan itu siap," katanya ketika ditemui di tempat kejadian pagi semalam.
Sementara itu, Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Gua Musang, Mohd Suhaili Ismail, bertegas tidak membenarkan orang ramai melalui kawasan itu bagi mengelak kerja pembinaan jalan lencongan terganggu.
Beliau berkata, pengguna sepatutnya mendapatkan laporan pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum melalui jalan berkenaan.
"Kami sedang membina jalan lencongan di Kilometer 55 dan 65, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dan jika tidak ada halangan mungkin jalan berkenaan boleh dibuka semula untuk laluan orang ramai pada 25 Disember ini.
"Bagi Jalan Gua Musang-Jeli yang menghadapi kejadian tanah mendap dan ditutup kepada semua kenderaan, tidak ada sebarang langkah kerja pembaikan kerana lebih mengutamakan Jalan Gua Musang-Kuala Krai," katanya.