Lencongan dua lokasi tanah mendap dibuka esok | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

GUA MUSANG: Jalan Gua Musang-Kuala Krai yang terputus sejak seminggu lalu, akibat jalan mendap di Kilometer 55 dan 65, dijangka dapat dilalui semua kenderaan mulai esok selepas siapnya jalan lencongan di lokasi terbabit. 

Pembinaan lencongan itu dijalankan dua syarikat sementara menunggu pembinaan laluan lebih baik yang akan dibuat secara berperingkat selepas ini. 

Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah, Mohd Suhaili Ismail, berkata pembinaan lencongan itu diberi tumpuan bagi mengatasi kesesakan teruk semua laluan keluar masuk negeri ini. 

?Kita sudah mengarahkan kontraktor yang membina lencongan dua lokasi tanah mendap di Jalan Gua Musang-Kuala Krai supaya bekerja 24 jam bagi memastikan ia siap mengikut jadual. 

?Kita berharap semua pengguna bersabar dan mematuhi arahan tidak melalui laluan terbabit sehingga ia dibuka kepada semua lalu lintas,? katanya kepada pemberita di lokasi itu, semalam. 

Terdahulu, beliau menerangkan punca kejadian itu serta tindakan segera JKR kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Mohamad Saufi Deraman, yang melawat tempat kejadian. 

  Mohd Suhaili berkata, pada masa sama, pihaknya sudah membaik pulih kerosakan Jalan Gua Musang-Kuala Berang bagi membolehkan ia digunakan sebagai laluan alternatif untuk perjalanan menghubungkan Kota Bharu dan Gua Musang. 

Beliau berkata, Jalan Gua Musang-Jeli dekat Meranto yang runtuh pagi kelmarin, masih ditutup kepada semua kenderaan sementara kerja baik pulih dijalankan dalam tempoh terdekat. 

Jalan itu menjadi laluan alternatif dari Gua Musang ke Kota Bharu, selepas jalan utama, Jalan Gua Musang-Kuala Krai ditutup kepada semua kenderaan berikutan mendapan sejak lebih seminggu lalu. 

Mohamad Saufi mencadangkan kerajaan supaya meluluskan peruntukan pembinaan lebuh raya menghubungkan Kota Bharu dan Bentong, Pahang melalui Gua Musang bagi menyelesaikan masalah terputus hubungan akibat tanah mendap. 

?Saya difahamkan, ia sudah dibincangkan pada peringkat Kementerian Kerja Raya tetapi belum ada maklum balas, walaupun perhubungan itu penting bagi semua penduduk tidak kira pada musim perayaan atau hari biasa. 

?Gua Musang terletak di tengah Semenanjung yang sesuai dibina jalan empat lorong bagi mengatasi kesesakan. Laluan lebih selesa perlu dibina kerana Gua Musang boleh dihubungkan dengan mudah ke beberapa negeri di Utara dan Timur,? katanya. 

Sementara itu, Pergerakan Pemuda Umno Kelantan meminta JKR segera membaik pulih semua laluan yang terputus di negeri ini demi keselesaan penduduk negeri ini dan semua pengguna jalan raya. 

Ketuanya, Dali Husin, berkata dua laluan terbabit sama ada jalan utama atau laluan alternatif penting kerana ia sebenarnya adalah laluan yang menjadi pilihan pengguna jalan raya dari negeri ini untuk ke Kuala Lumpur. 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian