Jambatan kedua dipercepat | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

Projek sepatut dilaksanakan dalam RMK-10 akan dimula pada RMK-9 

GEORGETOWN: Kerajaan Persekutuan bersetuju mempercepatkan pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang bernilai RM2.7 bilion dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). 

Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata projek mega terbabit sepatutnya dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) tetapi dipercepatkan ke RMK-9. 

"Projek ini dipercepatkan berikutan desakan daripada wakil rakyat negeri ini bagi melaksanakannya yang sudah diluluskan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR)," katanya pada sidang akhbar selepas meninjau masalah kesesakan Jalan Bayan Lepas, di sini, semalam. 

Turut sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bayan Lepas, Syed Ameruddin Syed Ahmad; Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang, wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bayan Lepas, Jabatan Kerja Raya (JKR) serta polis. 

Projek pembinaan jambatan kedua sepanjang 22.5 kilometer menghubungkan Batu Kawan di Seberang Prai dan dan Batu Maung di bahagian pulau dibina oleh kontraktor, China Harbour Engineering Company Ltd (CHEC). 

Ia berikutan pemeteraian perjanjian pinjaman Malaysia berharga AS$800 juta (RM2.7 bilion) daripada China Exim Bank bagi membiayai pembinaan jambatan itu. 

Pembiayaan pada kadar tiga peratus untuk 20 tahun adalah paling rendah pernah ditawarkan republik itu, sekali gus membuktikan keakraban hubungan Kuala Lumpur-Beijing sejak 1970-an. 

Dr Hilmi berkata, apabila projek itu siap kelak, kawasan Batu Maung, Bayan Lepas akan menjadi sesak oleh kenderaan yang menggunakan jambatan kedua itu. 

"Menyedari keadaan itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM200 juta bagi projek pelebaran empat jalan utama iaitu membabitkan Jalan Batu Maung, Bayan Lepas dan Teluk Kumbar, dekat sini," katanya. 

Beliau berkata, kadar trafik di kawasan itu dijangka meningkat pada waktu puncak terutama di kawasan Bayan Lepas. 

Katanya, bagi menangani masalah itu, satu laluan alternatif akan dibina bagi kenderaan ringan dari pusat bandar menggunakan Jalan Garuda untuk ke Kampung Binjai, Permatang Damar Laut dan Batu Maung. 

"Laluan sejauh empat kilometer itu akan digunakan selama sebulan berkuat kuasa minggu depan bagi mengurangkan kesesakan di bandar Bayan Lepas," katanya. 

Beliau berkata, selain itu, satu lencongan akan dibina dari Taman Seri Bayu di Bayan Lepas menuju Jalan Ismail Hashim bagi mengurangkan jumlah kenderaan dari Teluk Kumbar dan Balik Pulau, dekat sini. 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian