Tingkatkan ciri keselamatan jalan di cerun bukit | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

PendapatKEMALANGAN membabitkan sebuah bas kerana brek tidak berfungsi lalu melanggar sebuah lori berhampiran Plaza Tol Jelapang, Ipoh, Perak, hingga meragut lapan nyawa tidak lama dulu bukanlah insiden pertama demikian rupa di tempat itu. 

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya, terdapat laluan perangkap pasir berhampiran Plaza Tol Jelapang arah selatan untuk digunakan pada waktu kecemasan bukan setakat dapat memberhentikan kenderaan jika menghadapi masalah brek, malah mengelak kemalangan maut. 

Gambaran tersebut mengundang pertanyaan kenapa dan mengapa pemandu bas malang itu tidak membelok memasuki laluan berkenaan sebelum berlaku kemalangan maut? Dan jika demikian tindakan pemandu, adakah kemalangan dapat dielakkan? 

Secara umumnya, kemudahan keselamatan awam hanya dapat dimanfaatkan sepenuhnya jika ada kriteria berikut. Pertama kewujudannya diketahui, kedua, cara penggunaannya dan ketiga, apa fungsinya. 

Selain itu apabila menyentuh hal keselamatan, apa yang penting para pengguna mahukan keyakinan akan keberkesanannya.

Dalam situasi cemas pemandu pastinya tergamam, buntu dan sukar mengambil tindakan cepat dan tepat. Supaya pengguna tidak kekok apabila pertama kali menggunakannya, perlu ada pendedahan baik secara teori atau praktikal. Lihat saja peralatan cegah kebakaran, tanpa latihan kebakaran tidak ramai sedar di mana letaknya dan apatah lagi arif menggunakannya.

Jika keperluan terhadap sesuatu sistem keselamatan seperti laluan perangkap pasir dianggap penting lagi kritikal tetapi kalau ia gagal dimanfaatkan atau tidak berfungsi sebagaimana yang dikehendaki, kehadiran sistem kedua dan seterusnya mungkin dapat membantu. 

Begitu juga dengan menambahkan benda anjal seperti tayar buruk dan jaring keselamatan di hujung laluan berkenaan secara psikologi ia membuatkan pengguna berasa lebih yakin dan selamat.

Namun, 'teknologi' semata-mata tidak dapat memberi jaminan penuh keselamatan tanpa disertai oleh sikap pemanduan berhemah. 

Oleh itu kita merayu pemandu terutama kenderaan berat agar bersabar dan jangan sesekali memecut laju menggunakan lorong kanan untuk memotong kenderaan lain baik yang sejenis apa lagi kenderaan kecil. 

Jangan terlebih yakin akan keberkesanan dan kesempurnaan fungsi brek sepanjang masa kerana sifat alat mekanikal - perkara sebaliknya boleh berlaku. 

Ingatlah peluang memberhentikan kenderaan jauh berbeza antara kenderaan kecil dan besar; antara kenderaan bergerak perlahan dan dipandu laju menuruni bukit. 

Keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama. Kita tidak akan tenteram sekiranya kecuaian di pihak kita menyebabkan ada keluarga kehilangan orang tersayang. 

Jika kita meletakkan aspek keselamatan sebagai keutamaan tanpa tolak ansur, kita patut tidak berasa terganggu malah berterima kasih sekiranya ada tindakan proaktif mencegah kemalangan diadakan. Lebih baik bersusah dahulu daripada menyesal sepanjang hayat. 

Untuk itu amat sesuai dicadangkan kepada pihak berwajib supaya jalan raya curam di cerun bukit serta kerap mengundang masalah brek melaksanakan perkara-perkara berikut:

* Pasang kamera litar tertutup bagi mengesan pergerakan kenderaan dan kesalahan pemanduan.

* Tempatkan sekatan jalan raya polis di pertengahan cerun secara tetap. 

* Menurunkan lagi had laju kenderaan berat. 

* Kenakan denda maksimum serta-merta. 

* Walaupun kemalangan tidak melibatkan kita, ambillah iktibar. Semoga dengan azam kuat kita dapat menjadikan siri kemalangan maut di negara ini dapat dikurangkan. 

- ZALIZA RAMLI

Tanjung Malim, Perak.

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia