Laporan nahas tol Jelapang ke Kabinet 2 Januari | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

KUALA LUMPUR: Laporan lengkap punca kemalangan nahas bas persiaran dan lori tangki di Plaza Tol Jelapang, Ipoh pada 11 Disember lalu, dan cadangan menambah baik aspek pemanduan, keselamatan jalan raya dan kenderaan akan dibentangkan kepada Kabinet pada 2 Januari depan. 

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh, berkata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy akan membentangkan laporan siasatan terperinci berkaitan punca tragedi itu kepada Kabinet. 

Katanya, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) sudah menghantar laporan lengkap siasatan itu termasuk analisis forensik mengenai punca nahas berkenaan kepada pihaknya, minggu lalu. 

Beliau berkata, institut itu mengambil 10 hari membuat analisis punca kemalangan berkenaan termasuk mengesyorkan pelbagai cadangan memperbaiki semua aspek yang perlu diberi perhatian bagi mengelak kejadian berulang. 

"Cadangan menambah baik itu meliputi aspek pemanduan, jalan raya dan kenderaan. Punca kemalangan biarlah menteri berkaitan umumkan selepas membentangkan kepada Kabinet," katanya ketika dihubungi di sini semalam. 

Akbar melaporkan sebelum ini, analisis awal Miros mengenai nahas bas persiaran dan lori tangki di Plaza Tol Jelapang, Ipoh itu, mendapati kemalangan itu tidak sepatutnya memberi impak besar hingga meragut lapan nyawa jika reka bentuk dan tambatan kerusi penumpang diberi perhatian. 

Dalam nahas kira-kira jam 4 pagi 11 Disember lalu, lapan terbunuh manakala 27 lagi cedera, termasuk empat parah apabila bas pesiaran yang membawa rombongan Wanita Umno bahagian Kuala Kedah itu merempuh belakang sebuah lori di Plaza Tol Jelapang menghala selatan. 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian