Kenderaan lebih muatan punca jalan rosak | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

IPOH 26 Dis. - Jalan berlubang di Lebuh Raya Timur-Barat dari Grik menuju negeri Kelantan dipercayai berlaku kerana banyak kenderaan berat yang melalui lebuh raya itu membawa lebih muatan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Ho Cheng Wang berkata, berdasarkan maklumat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), kerosakan banyak berlaku pada jalan dari arah Gerik menuju Jeli kerana kenderaan mengenakan cengkaman yang lebih ketika menaiki bukit.

"Secara logiknya, apabila mendaki bukit, kenderaan akan mengenakan cengkaman yang lebih dan ini bermakna beban berat juga lebih tinggi berbanding ketika menurun.

"Keadaan ini diburukkan lagi jika kenderaan berat membawa lebih muatan kerana cengkaman yang dikenakan lebih kuat sedangkan jalan tersebut dibina dengan mengambil kira had berat yang mempu ditampung oleh kenderaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini mengenai Lebuh Raya Timur-Barat yang berlubang-lubang sehingga boleh membahayakan nyawa pengguna.

Tinjauan Utusan Malaysia semalam mendapati laluan sepanjang kira-kira 221 kilometer sehingga ke Kota Bharu, Kelantan itu tersebut bukan sahaja berlaku dan sempit tetapi yang lebih membimbangkan wujud banyak lubang di sepanjang, laluan itu.

Menurut Cheng Wang, syarikat kontraktor rasmi JKR, Belati Wangsa Snd. Bhd., sentiasa menampal lubang-lubang di laluan berkenaan tetapi factor hujan menyebabkan ia kembali rosak.

Katanya, kalau jalan itu tidak sentiasa ditampal, keadaan mungkin akan menjadi lebih teruk.

"Kali ini JKR akan buat tampalan empat segi yang lebih tebal supaya ia tidak mudah rosak dan kerja-kerja menampal dari Grik ke Banding akan bermula Jumaat ini," katanya.

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia