Muar 26 Dis- Rangkaian Segar Sdn. Bhd, Pengeluar kad Touch 'n Go dan Smart Tag, dengan kerjasama semua syarikat konsesi lebuh raya di negara ini menawarkan diskaun khas 10 peratus dan beberapa kemudahan lain kepada pembeli dua jenis kad itu mulai 1 Februari depan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu ketika mengumumkan tawaran itu memberitahu mereka yang membeli kad Smart Tag mulai Tarikh itu hanya perlu membayar RM 90 berbanding harga sekarang iaitu RM 100.
Selain itu, pembeli Smart Tag akan menikmati pakej insurans kemalangan peribadi RM 10,000 serta bayaran perbelanjaan hospital RM 2,000 untuk tempoh setahun.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan wajah baru Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Pagoh arah selatan anjuran Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) Expressway Berhad dekat sini hari ini.