1,278 kes kemalangan berat di lebuh raya | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

ALOR STAR 28 Jan- Jabatan keselamatan Trafik PLUS Expressway Berhad (PLUS) merekodkan 1,278 kemalangan melibatkan kenderaan berat di Lebuh raya Utara Selatan tahun lalu.

Pengurus Besar Operasi PLUS, Mohammad Fuad Khusairi memberitahu, walaupun jumlahnya kecil berbanding kemalangan yang berlaku di jalan biasa, ia tetap membimbangkan.

"Ini kerana kemalangan melibatkan kenderaan berat biasanya boleh menyebabkan kehilangan banyak nyawa seperti kejadian di Bukit Gantang dan Jelapang pada tahun lalu,"kata beliau.

Beliau berkata demikian Dalam Seminar Keselamatan ' Respect Your Limit' anjuran PLUS dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) di Hotel Holiday Villa di sini hari ini.

Seramai 150 orang pemandu, pihak pengurusan dan pemilik syarikat bas dan lori hadir pada seminar berkenaan yang bertujuan mendidik serta meningkatkan kesedararan kepada mereka terhadap tanggungjawab sebagai pemandu yang berhemah.

Menurut beliau, pihaknya berpendapat kebanyakaan kemalangan di lebuh raya bukan disebabkan keadaan atau struktur jalan tetapi faktor kelalaian pengguna yang kurang peka terhadap kemampuan sebagai pemandu.

Selain itu kata beliau, ia disebabkan oleh faktor kenderaan dipandu sehingga menyebabkan ramai yang tidak berdosa menjadi mangsa.

"Oleh yang demikian PLUS berharap seminar ini akan menjadi titik tolak kepada kita semua kearah menjadi  pemandu yang lebih berhemah, lebih bertanggungjawab dan lebih selamat pada masa akan datang," ujar beliau.

Menurut beliau, menerusi seminar tersebut, peserta-peserta akan didedahkan kepada aspek kepentingan menghormati kemampuan diri selaku pemandu, kemampuan kenderaan sendiri dan pengguna jalan raya  lain.

"Program ini adalah siri pertama dan  kita akan menganjurkannya di tempat lain seperti Wilayah Tengah dan selatan pada masa akan datang," katanya.

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia