KOTA TINGGI: Kerajaan Johor meminta kerajaan Pusat menimbangkan cadangan membina jambatan kedua di bandar ini, berikutan kepesatan pembangunan selain pertambahan jumlah kenderaan yang melalui jambatan sedia ada hingga menyebabkan kesesakan.
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata jika pembinaan jambatan kedua itu tidak dapat dimasukkan dalam projek Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sekurang-kurangnya, ia dipertimbangkan untuk RMK-10.
"Selain itu, kita juga berjaya memperdalamkan Sungai Johor sehingga 1.5 meter dan ia bagi memastikan sungai berkenaan dapat menampung kuantiti air lebih banyak terutama ketika musim hujan.
"Projek bernilai RM69 juta itu adalah untuk mendalam dan melebar Sungai Johor sepanjang 13 kilometer untuk memudahkan air mengalir ke muara sungai," katanya di sini, semalam.
Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika Majlis Pecah Tanah Tapak Penempatan Semula Mangsa Banjir daerah ini, yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Abdul Ghani berkata, projek penempatan semula mangsa banjir yang membabitkan pembinaan 360 unit rumah untuk penduduk dari enam kampung tidak mungkin dapat dilakukan sekiranya tidak mendapat kerjasama daripada penduduk terbabit.
"Selain rumah yang jauh lebih selamat dan selesa serta lengkap kemudahan awam, kerajaan Pusat menerusi Kementerian Belia dan Sukan bersetuju memperuntukkan kira-kira RM15 juta untuk membina enam padang bola sepak di kawasan berkenaan," katanya.
Selain itu, katanya, projek pembinaan Lebuh Raya Senai-Desaru bernilai RM1.4 bilion yang dijangka siap sepenuhnya Oktober ini menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi di bahagian timur Johor.
Katanya, lebuh raya sepanjang 80 kilometer itu akan menjadi laluan penting di negeri ini dan perjalanan dari Desaru ke Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) menjadi lebih dekat.