CEO kontraktor jalan dipanggil beri keterangan | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

PUTRAJAYA 18 Jan.- Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat kontraktor jalan akan dipanggil memberi keterangan kepada Jawatankuasa Inkuiri berhubung satu kes kemalangan maut di Gurun, Kedah pada 8 Januari lalu dalam tempoh terdekat.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh berkata, jawatankuasa diketuai Jabatan Kerja Raya (JKR) itu akan menentukan sama ada wujud kelemahan atau pelanggaran prosedur berkaitan keselamatan di lokasi kemalangan itu oleh syarikat terbabit.

Menurutnya, siasatan awal mendapati wujud kecuaian oleh syarikat berkenaan berhubung aspek keselamatan jalan di lokasi kemalangan itu.

"Siasatan tersebut membabitkan garis panduan teknik dan keselamatan JKR, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994 dan juga Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Jika syarikat terbabit didapati bersalah dan melakukan penyelewengan, mereka akan disenaraihitamkan serta-merta," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros), Prof. Ir. Dr. Radin Umar Radin Sohaidi.

Kemalangan membabitkan pelanggaran dua kenderaan di Jalan Gurun-Sik pada 8 Januari lalu itu mengakibatkan dua orang maut, tiga cedera parah manakala seorang cedera ringan.

Semasa kejadian, kerja-kerja menaik taraf sedang dilakukan di jalan berkenaan.

Selain JKR, jawatankuasa tersebut dianggotai oleh JKJR, Miros, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan (DOSH), polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Suret berkata, tindakan memanggil CEO terbabit merupakan isyarat yang jelas kepada syarikat kontraktor jalan bahawa kerajaan memandang serius terhadap pendekatan dan mutu kerja mereka semasa menyiapkan projek yang diberikan.

"Kami tidak akan teragak- agak mengambil tindakan tegas terhadap syarikat kontraktor jalan yang didapati melanggar mana-mana peraturan ditetapkan.

"Justeru, pengurusan tertinggi sesebuah syarikat kontraktor jalan perlu memastikan pekerja bawahan mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya.

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia