Sikap pemandu punca kesesakan di Jambatan Pulau Pinang | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

TERPERANGKAP dalam kesesakan lalu lintas sehingga berjam-jam lamanya bukan lagi perkara luar biasa bagi pengguna Jambatan Pulau Pinang yang sering berulang alik antara Seberang Perai dan bahagian pulau. 

Kerancakan aktiviti ekonomi di Pulau Pinang terutama di bahagian pulau menyebabkan lebih 120,000 kenderaan keluar masuk menggunakan jambatan itu setiap hari dan jumlah itu bertambah kepada 130,000 pada musim perayaan dan cuti sekolah. 

Pengendali Jambatan Pulau Pinang, Penang Bridge Sdn Bhd (PBSB) mengenal pasti punca utama kesesakan ialah penutupan satu lorong bagi kedua-dua hala untuk kerja pelebaran jambatan sepanjang 13.5 kilometer (km) itu serta kemalangan jalan raya. 

Beberapa pengguna tetap Jambatan Pulau Pinang mempunyai pandangan sendiri mengenai punca kesesakan lalu lintas di atas jambatan yang mula beroperasi sejak 1985 itu. 

Abdul Halim Ahmad, 36, berkata sikap pengguna jambatan itu sendiri yang tidak sabar dan memandu tanpa berhati-hati menyebabkan sering berlaku kemalangan kecil yang menjadi punca kesesakan selama berjam-jam. 

"Terutama pada sebelah pagi ketika semua orang berpusu-pusu masuk ke bahagian pulau untuk pergi kerja dan waktu petang ketika pulang dari kerja, ketika itu ada juga pemandu yang pentingkan diri sendiri dan tidak berhati-hati sehingga menyebabkan berlaku kemalangan," katanya.

Abdul Halim, seorang penjawat awam yang bertugas di Komtar, Georgetown berkata beliau yang menggunakan jambatan itu setiap hari terpaksa berdepan kesesakan ketika pergi dan balik dari pejabat. 

Seorang lagi pengguna, Asmah Mohd Noor, 28, yang bertugas di kawasan perindustrian Bayan Lepas, berkata kenderaan berat yang menggunakan jambatan itu pada waktu puncak juga menyumbang kesesakan lalu lintas. 

"Kenderaan banyak pada waktu itu. Semua orang mahu cepat kerana mengejar masa untuk sampai ke tempat kerja. Pada masa itu pula ada kenderaan yang membawa muatan berat lalu di jambatan menyebabkan pergerakan kenderaan bertambah perlahan," katanya. 

Asmah yang menjadi pengguna tetap jambatan itu sejak dua tahun lalu berkata, masalah kesesakan itu bukan perkara baru dan beliau mencadangkan kenderaan berat tidak dibenar menggunakan jambatan pada waktu puncak. 

Mengenai alternatif lain seperti menggunakan perkhidmatan feri, Asmah berkata beliau tidak menggunakan feri kerana terpaksa menunggu giliran agak lama memandangkan ramai juga menggunakan perkhidmatan itu pada waktu pagi dan petang. 

Sementara itu, jurucakap Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berkata, langkah penting yang boleh dilakukan bagi mengatasi masalah lalu lintas itu ialah tindakan mencegah kemalangan. 

Antaranya mengkaji kenapa kemalangan sering berlaku di atas jambatan, meletakkan papan tanda amaran di kawasan kemalangan serta mengurangkan had kelajuan daripada 80kmj kepada 60kmj. 

Katanya, PBSB juga perlu menyediakan pembahagi jalan yang boleh dialihkan untuk membuka lorong tambahan atau mengalihkan laluan ke lorong bertentangan dari mana-mana hala untuk menyuraikan kesesakan lalu lintas. 

Beberapa langkah sedang dan akan diambil oleh kerajaan bagi mengatasi masalah kesesakan jambatan itu antaranya kerja melebar jambatan sedia ada dan pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang bagi mengurangkan jumlah kenderaan yang lalu di Jambatan Pulau Pinang. 

Bagaimanapun, pengguna jambatan terpaksa bersabar kerana kerja melebarkan Jambatan Pulau Pinang yang dijangka siap pada September 2008 terpaksa dilanjutkan sehingga September 2009 kerana masalah geoteknikal. 

Bagi pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang sepanjang 24km yang menghubungkan Batu Kawan di Seberang Perai dan Batu Maung di Pulau Pinang, sudah dimulakan dan dijangka siap pada Januari 2011. 

Bagi mengatasi masalah kesesakan itu juga, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu pada 22 Disember lalu mengarahkan LLM dan PBSB menyediakan perkhidmatan helikopter untuk mengangkat kenderaan yang terbabit kemalangan di atas jambatan. 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan negeri, Datuk Koay Kar Huah berkata kerajaan negeri berharap LLM dan PBSB menyegerakan cadangan itu kerana kesesakan lalu lintas di atas Jambatan Pulau Pinang semakin kritikal. 

Beliau berkata kerajaan negeri juga mengemukakan dua lagi cadangan dalam perbincangannya bersama syarikat itu sebelum ini iaitu menghalang kenderaan berat memasuki jambatan ketika waktu puncak dan meminta PBSB menggalakkan pengguna berkongsi kenderaan bagi mengurangkan kesesakan di atas jambatan semakin kritikal.

Beliau berkata kerajaan negeri juga mengemukakan dua cadangan dalam perbincangaannya bersama syarikat itu sebelum ini iaitu menghalang kenderaan berat memasuki jambatan ketika waktu puncak dan meminta PBSB menggalakkan pengguna berkongsi kenderaan bagi mengurangkan kesesakan di atas jambatan.

Rata-rata pengguna jambatan Pulau Pinang berharap pihak terbabit seperti PBSB dan LLM termasuk kerajaan negeri mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi mereka

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian