Had laju cuti Tahun Baru Cina 80km/j | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

Larangan sementara diwarta bagi kurangkan nahas 

KUALA LUMPUR: Had laju semua jalan Persekutuan dikurangkan sebanyak 10 kilometer sejam (km/j) kepada 80km/j selama 15 hari sepanjang musim cuti perayaan Tahun Baru Cina mulai 31 Januari ini bagi mengurangkan kadar kemalangan. 

Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu, berkata sehingga 14 Februari ini, had laju maksimum di jalan Persekutuan ditetapkan pada 80 km/j dan larangan sementara itu sudah diwartakan. 

"Saya sudah menandatangani gazet (warta) untuk larangan sementara itu semalam selaras subseksyen 69 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

"Saya sudah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil tindakan untuk meletakkan papan tanda di semua lokasi bagi memaklumkan pengguna jalan mengenai larangan sementara itu,? katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyampaian persijilan pengurusan kualiti ISO 9001:2000 kepada 85 kontraktor di sini, semalam. 

Kontraktor berkenaan berjaya mendapatkan persijilan itu dengan menyertai Skim DIY ISO 9001 yang dikendalikan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB). Hadir sama Pengerusi CIDB, Tan Sri Jamilus Hussein dan Ketua Pegawai Eksekutif CIDB, Datuk Hamzah Hasan. 

Mengulas lanjut, Samy Vellu berkata, pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi had laju yang dipamerkan di sepanjang jalan. 

Katanya, sepanjang tempoh itu, JKR menghentikan kerja pembinaan dan pelebaran jalan di semua jalan Persekutuan bagi mengelakkan gangguan kepada pengguna. 

Sementara itu, mengulas mengenai persijilan ISO 9001 di kalangan kontraktor tempatan, beliau berkata, mereka perlu mendapatkan persijilan itu untuk layak didaftarkan kontraktor Gred G7 menjelang 1 Januari 2009. 

G7 ialah gred tertinggi yang diberikan CIDB kepada kontraktor bagi membolehkan mereka menender kontrak bernilai lebih RM10 juta. 

Katanya, kontraktor berkenaan perlu segera berusaha memperoleh persijilan itu kerana proses mendapatkannya memakan masa panjang antara enam bulan hingga setahun. 

"Mengikut statistik CIDB, setakat ini hanya 10 peratus atau 350 kontraktor daripada 3,500 syarikat kontraktor Gred G7 sudah mendapatkan persijilan ISO 9001," katanya. 

Beliau berkata, CIDB menetapkan standard tinggi itu bagi membolehkan lebih banyak kontraktor tempatan melebarkan sayap operasi ke luar negara kerana kerajaan sudah berusaha mewujudkan peluang untuk mereka di pasaran asing. 

"Kita harap mereka memanfaatkan peluang disediakan kerajaan di luar negara dengan mempunyai standard seperti sebuah syarikat antarabangsa," katanya. 

Samy Vellu berkata, beliau akan mengadakan dialog dengan kontraktor tempatan yang sedang melaksanakan pelbagai projek kerajaan untuk mendengar masalah yang mereka hadapi terutama berkaitan pembayaran tidak lama lagi. 

Katanya, hingga kini beliau masih menerima aduan daripada subkontraktor yang tidak mendapat bayaran daripada kontraktor utama, sedangkan isu itu tidak sepatutnya timbul kerana peraturan membolehkan mereka menuntut bayaran daripada JKR bagi kerja yang disempurnakan. 

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian