Kontraktor perlu kerja satu pasukan rebut projek luar negara | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

SHARJAH (UAE) 14 Jan. - Syarikat-syarikat kontraktor dari Malaysia digalakkan supaya bekerjasama dalam satu kumpulan bagi membolehkan mereka menawarkan perkhidmatan yang lebih menyeluruh kepada pelanggan di luar negara termasuk di Asia Barat.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Tan Sri Ir. Jamilus Md. Hussein berkata, cara tersebut membolehkan lebih banyak syarikat Malaysia meneroka pasaran Asia Barat selain menawarkan perkhidmatan yang lebih cekap dan cepat.

Mereka bukan sahaja boleh bekerjasama dalam aspek pembinaan, malah penyediaan reka bentuk bangunan, juru perunding dan juga akses kewangan, katanya ketika ditemui pada Pameran Perkhidmatan Malaysia (MSE), di sini hari ini.

Menurut beliau, perkhidmatan yang menyeluruh dan cekap akan membuka lebih banyak peluang kepada syarikat Malaysia untuk mendapatkan rakan niaga di luar negara.

"Prestasi kontraktor Malaysia dalam projek-projek pembinaan di luar negara telah terbukti melalui pelbagai projek yang berjaya diperoleh sebelum ini.

"Malah, ada syarikat Malaysia yang berjaya memperoleh sesuatu projek baru melalui pelanggan mereka terdahulu.

"Oleh itu amat penting standard dan kualiti kerja-kerja pembinaan untuk bakal pelanggan ditingkatkan bagi memastikan imej syarikat Malaysia terpelihara.

"Prestasi syarikat-syarikat ini akan memberi impak kepada rakan-rakan mereka yang ingin memasuki pasaran global," katanya.

MSE yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam merupakan pameran perkhidmatan yang pertama kali dianjurkan di luar negara dan disertai oleh 168 syarikat mewakili 11 segmen industri perkhidmatan termasuk pembinaan, perbankan, kesihatan, teknologi maklumat, pendidikan dan logistik.

Jamilus berkata, Asia Barat kini menawarkan banyak peluang pembinaan kepada syarikat kontraktor dari Malaysia dan sehingga kini 54 projek telah berjaya diperoleh.

Menurutnya, daripada jumlah itu 31 projek telah siap dibina, manakala 23 projek lagi bernilai AS$9.6 bilion sedang dalam pembinaan iaitu di Bahrain, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Katanya, antara projek mega yang dilaksanakan oleh syarikat Malaysia di Qatar ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Doha oleh Gamuda Berhad bernilai AS$543 juta.

Di UAE pula katanya, syarikat Malaysia berjaya memperoleh projek pembinaan bernilai AS$2,531.9 juta dan daripada jumlah itu projek bernilai AS$472.6 juta telah berjaya disiapkan, manakala selebihnya dalam pembinaan.

Selain Asia Barat, katanya, syarikat kontraktor Malaysia telah berjaya memperoleh projek di banyak negara lain termasuk di India, Bosnia, Pakistan, Nigeria, Sudan dan Australia dan kini sedang dalam proses menembusi pasaran Romania bermula Mac atau April ini.

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia