CIDB rancang lesen guna sistem mata | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

LEMBAGA Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) merancang memperkenalkan sistem mata kepada semua kontraktor lama yang hendak memperbaharui lesen perniagaan mereka, menerusi latihan intergriti di bawah Program Kontraktor Secara Berterusan (CCD). 

Ketua Eksekutifnya, Datuk Hamzah Hasan, berkata pengenalan sistem baru itu bertujuan memastikan setiap syarikat kontraktor di negara ini mencapai tahap pengurusan dan mampu memberi mutu perkhidmatan yang menepati kehendak Pelan Induk Industri Pembinaan (CIMP). 

"Apabila sistem mata menerusi CCD ini dilaksanakan nanti, dijangkakan bilangan kontraktor berdaftar di seluruh negara akan berkurangan kerana hanya kontraktor tulen yang menjalankan kerja dengan kualiti saja akan kekal,'' katanya. 

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Seminar Pembangunan Kontraktor Sempena Pembukaan Pejabat CIDB negeri di Ayer Keroh d'Village, Melaka, semalam. 

Majlis perasmian program disertai kira-kira 2,000 kontraktor itu disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Hadir sama Pengarah CIDB Melaka, Norlida Nabil. 

Hamzah berkata, banyak organisasi yang gagal hari ini bukan disebabkan kelemahan produk yang dihasilkan tetapi kerana sistem pengurusan harian tidak berkualiti. 

Justeru, katanya, CIDB akan membimbing kontraktor terbabit dalam penyediaan dokumentasi, selain melatih pekerja mereka mengenai sistem pengurusan kualiti di sesebuah organisasi supaya menepati syarat CIMP dan ISO 9001 CIDB. 

Beliau berkata, antara syarat CIMP adalah mengutamakan empat perkara asas iaitu meningkatkan tahap kemahiran pekerja dalam bidang binaan, meningkatkan penggunaan teknik dan teknologi pembinaan lebih produktif, meningkatkan daya saing dan meningkatkan imej industri menerusi penjagaan keselamatan dan kebajikan pekerja binaan. 

"CIDB memberi penekanan terhadap program latihan kemahiran dengan melaksanakan program Standard Kecekapan Kemahiran Kebangsaan iaitu dengan membangunkan modul latihan dan mentauliahkan institusi latihan awam dan swasta," katanya. 

Hamzah berkata, CIDB juga sudah melaksanakan pemberian 'kad hijau' kepada kontraktor bagi membolehkan mereka mendapat latihan secukupnya mengenai aspek keselamatan di tapak kerja. 

 

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian