Jangan agih subkontrak kepada anak syarikat sendiri | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

PUTRAJAYA 28 Jan. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan kontraktor utama yang memperoleh projek-projek kerajaan supaya tidak hanya mengagihkan kerja subkontrak kepada anak syarikat sendiri.

Perdana Menteri berkata, ingatan tersebut perlu kerana adalah menjadi tanggungjawab kontraktor utama memastikan kontraktor-kontraktor kecil dapat terus berdaya maju dalam perniagaan mereka.

Sehubungan itu, beliau mahu Jabatan Kerja Raya (JKR) menyediakan satu garis panduan yang jelas supaya kerja-kerja sub kontrak daripada kontraktor utama dapat diagihkan secara adil.

"Kontraktor utama mempunyai tanggungjawab untuk membantu kontraktor kecil, bukan hanya dari segi mempercepatkan bayaran tetapi juga pengagihan kerja-kerja subkontrak.

"Janganlah guna anak syarikat sendiri sahaja untuk membuat kerja-kerja subkontrak tetapi berilah kerja tersebut kepada kontraktor kecil yang lain," kata Abdullah ketika berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Kelapan (Mappa VIII) 2008 di sini hari ini.

Menurut Perdana Menteri, beliau menyedari akan ada kontraktor utama tidak senang hati dengan ingatannya itu.

"Saya tahu mereka tidak senang hati tetapi ia adalah elok untuk memastikan ekonomi negara terus berkembang dengan baik.

"Malah, dengan cara ini wang pembangunan yang disalurkan oleh kerajaan melalui pemberian projek itu dapat dibelanja dengan berkesan," katanya.

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia