KUALA LUMPUR 27 Mac - Pengguna jalan raya perlu sedar fungsi utama Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (SMART) adalah untuk mengawal kejadian banjir kilat dan bukan laluan trafik.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Uggah Embas berkata, penutupan terowong pada Sabtu lalu adalah prosedur biasa dalam mengawal banjir kilat di ibu negara.
Beliau berkata, penutupan itu dilakukan bagi membolehkan penyaluran air ke kolam-kolam takungan untuk mengelak banjir.
''Jadi, orang ramai perlu bersabar sepanjang tempoh penutupan terowong supaya kerja pembersihan terowong dapat dilakukan dengan sempurna,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Projek SMART di sini hari ini.
Douglas berkata, terowong itu ditutup selama empat hari bagi memastikan segala pemeriksaan dilakukan dengan teliti dan betul.
''Ini kerana hujan lebat Sabtu lalu mencatat jumlah air terbanyak iaitu 1.2 juta meter padu dan paras air yang semakin naik perlu disalur segera ke Sungai Klang,'' katanya.
Tambahnya, antara pemeriksaan yang dilakukan semasa penutupan Terowong Smart termasuklah memastikan kamera litar tertutup (CCTV) berfungsi serta sistem perangkap haba dalam keadaan baik.
''Pemeriksaan yang dilakukan bertujuan membolehkan terowong menyalurkan 1.2 juta meter padu air tanpa masalah,'' katanya.
Bagaimanapun, kata beliau, pada masa akan datang tempoh penutupan terowong SMART akan cuba dipendekkan kepada dua hari.