SMART dibuka kesesakan pulih | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

KUALA LUMPUR 26 Mac - Kesesakan lalu lintas yang dialami warga kota sejak beberapa hari lalu kembali pulih seperti biasa apabila Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (SMART) dibuka semula kepada semua kenderaan petang ini.

Terowong yang mula dibuka kepada pengguna jalan raya pada pukul 5 petang itu berjaya melancarkan perjalanan orang ramai terutama mereka yang mahu pulang selepas waktu kerja.

Jurucakap Bilik Kawalan SMART memaklumkan orang ramai sudah mula menggunakan terowong itu yang dibuka kepada semua kenderaan dari arah utara dan selatan.

Katanya, sehingga kini, semua pergerakan kenderaan yang melaluinya berjalan lancar.

"Kita akan terus membuka terowong SMART ini dan ia dikekalkan sekiranya keadaan mengizinkan dan cuaca baik," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terowong SMART ditutup oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sejak Sabtu lalu bagi membolehkan penyaluran air ke kolam-kolam takungan bagi mengelak banjir kilat ekoran hujan lebat sejak beberapa hari lepas.

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia