Kenaikan harga keluli jejas projek RMK-9 | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

PERSATUAN Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) melahirkan kebimbangan kemungkinan pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) akan terjejas berikutan kenaikan harga keluli yang tidak terkawal. 

Presidennya, Datuk Roslan Awang Chik, berkata kontraktor kini perlu membayar kira-kira RM3,500 satu tan bagi mendapatkan bekalan keluli, iaitu kira-kira 30 peratus lebih tinggi berbanding harga kawalan kerajaan yang dibuat menerusi mekanisme Penetapan Harga Automatik (APM) pada RM2,225 dan RM2,419 satu tan. 

 

Beliau berkata, kenaikan yang dialami sejak lebih setahun lalu itu menyebabkan ramai kontraktor kini tidak mampu membeli bahan itu untuk melaksanakan projek mereka. 

"Ramai kontraktor yang sedang melaksanakan projek pada peringkat pembinaan struktur terpaksa menanggung kos tambahan yang tinggi dan kemungkinan tidak mampu membeli besi dan keluli untuk projek yang sedang dikendalikan, sekali gus berdepan tindakan penamatan kontrak oleh kerajaan. 

"Ini termasuk kontraktor yang sedang melaksanakan projek di bawah RMK-9 kerana mereka menghadapi kesulitan menyiapkan projek yang ditawarkan. 

"Kami berharap perkara ini mendapat perhatian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) secepat mungkin," katanya pada sidang media, di Kuala Lumpur, semalam. 

Roslan mendakwa, pengeluar memberikan alasan kekurangan bekalan untuk memanipulasi harga hingga harga APM tidak diguna pakai. 

Namun, katanya, ketika ini bekalan keluli di pasaran tempatan bukan satu isu kerana kapasiti yang digunakan sektor pembinaan tempatan ketika ini hanya 60 peratus daripada jumlah pengeluaran tujuh pengeluar bahan itu di negara ini. 

Justeru, beliau meminta kerajaan mengharamkan eksport besi dan simen kerana kemungkinan pengeluar lebih mengutamakan pasaran luar negara yang menawarkan harga lebih tinggi. 

Beliau juga mahukan kerajaan membenarkan import bahan itu jika berlaku kekurangan bekalan menerusi kaedah pasaran terbuka. 

Roslan menegaskan, isu kenaikan harga keluli itu perlu ditangani dengan segera kerana ia akan menyebabkan harga hartanah meningkat lebih tinggi daripada kenaikan antara 15 hingga 20 peratus yang dialami sejak akhir-akhir ini. 

Katanya, kenaikan harga itu tidak boleh dielakkan kerana bahan binaan merangkumi kira-kira 60 peratus daripada kos pembinaan. 

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Malaysia (Rehda), Ng Seing Liong menggesa kerajaan dan Persekutuan Industri Keluli dan Besi Malaysia menyiasat dan menjelaskan mengenai perbezaan harga sebanyak 30 peratus bagi keluli dari China. 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian