KUALA TERENGGANU: Semua dewan sekolah di Terengganu yang dibina di bawah Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) akan ditutup selama sebulan bermula hari ini untuk pemeriksaan keselamatan bagi memastikan kejadian bumbung runtuh di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakaf Tapai, Jumaat lalu tidak berulang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata beliau sudah meminta pegawai Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) menghantar notis kepada semua sekolah terbabit semalam untuk menutup dewan bagi memulakan pemeriksaan keselamatan hari ini.
Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga meminta Kementerian Pelajaran dan JPN supaya memeriksa keseluruhan bangunan sekolah yang dibina di bawah perunding pengurusan projek (PMC) bagi memastikan bangunan dalam keadaan baik untuk menjamin keselamatan guru, kakitangan sekolah dan pelajar.
Di bawah RMK-8, PMC bertindak sebagai penasihat teknikal yang menyediakan laporan teknikal, komersial dan pengurusan kontrak projek untuk kementerian, termasuk Kementerian Pelajaran bagi memantau kerja pembinaan dan penyelenggaraan bangunan sekolah. Bagaimanapun, sistem PMC sudah ditamatkan kerajaan sejak Mac 2004.
"Saya sudah meminta JPN mengenal pasti sekolah terbabit yang dibina di bawah sistem PMC untuk membuat pemeriksaan penuh dan buat permulaan semua dewan sekolah berkenaan ditutup sebulan bagi memudahkan kerja pemeriksaan tahap keselamatan bangunan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabatnya selepas bermesyuarat bersama pegawai Kementerian Pelajaran dan JKR berikutan kejadian bumbung Dewan Besar SMK Wakaf Tapai, Marang yang baru dibina tiga tahun lalu runtuh tiba-tiba kira-kira jam 8.30 malam, Jumaat lalu walaupun tidak ada hujan atau angin kuat.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail yang melawat lokasi kejadian kelmarin berkata, dewan yang mampu menampung kira-kira 500 pelajar pada satu-satu masa itu dipercayai roboh akibat kekuda sendi yang menampung bahagian bumbung berkenaan tidak kukuh.