MARANG 12 April - Seluruh bumbung bangunan dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakaf Tapai dekat sini, yang kos pembinaan keseluruhan berharga RM2 juta runtuh secara tiba-tiba dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 8.30 malam tadi.
Kejadian tersebut dipercayai berlaku apabila kekuda kayu yang menyokong bumbung bangunan yang siap dan digunakan akhir tahun 2005 itu tidak mampu bertahan menyebabkan keseluruhan bumbung runtuh.
Bagaimanapun, struktur bangunan Dewan Saidina Abu Bakar termasuk dinding dan lantai tidak mengalami sebarang kerosakan.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian tersebut.
Pengurus syarikat kontraktor tempatan, Hazian Hashim berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan bumbung bangunan dewan sekolah tersebut runtuh kerana sistem kekuda yang menyokong bumbung tidak kuat untuk membolehkannya bertahan lama.
Beliau turut mengakui inilah kali pertama kejadian seumpamanya berlaku sejak terbabit dalam kerja-kerja pembinaan sekolah 20 tahun lalu.
''Kami menyerahkan kepada sub-kontraktor lain untuk menyiapkan bangunan dewan sekolah ini... kami buat bangunan utama sekolah dan bukan bangunan ini," katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengiringi Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail yang melakukan lawatan mengejut ke sekolah itu petang ini.
Bangunan dewan yang musnah itu merupakan sebahagian daripada komponen bangunan SMK Wakaf Tapai yang dibina dengan kos perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM16 juta.
Sementara itu, Razali yang terkejut dengan kejadian tersebut menyifatkan ia sebagai suatu yang amat malang apatah lagi berlaku di Terengganu.
''Bayangkan bagaimana kalau ada pelajar atau guru dalam dewan sekolah semasa bumbung runtuh berlaku malam tadi. Tentunya akan ada di kalangan mereka yang bergelimpangan atau cedera parah," katanya.
''Tentunya cerita runtuhan ini bakal menjadi cerita besar terpampang dalam akhbar dalam dan luar negeri... ia berlaku akibat kecuaian manusia dan manusia yang menerima akibatnya.
''Menurut laporan, bangunan sekolah ini sudah mengalami masalah sejak ia mula digunakan lagi tetapi apa yang peliknya penelitian atau pemantauan rapi gagal dilakukan sehinggalah kejadian berlaku malam tadi," katanya.
Razali mengarahkan pelbagai pihak termasuk jurutera pejabat pelajaran daerah dan negeri serta Jabatan Kerja Raya (JKR) menyiasat segera kejadian itu sedangkan ia sebenarnya sudah digunakan sejak tahun 2005