RM3.3b bina lebuh raya di Melaka | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

MELAKA: Kerajaan Pusat bersetuju memperuntukkan sebanyak RM 3.3 bilion bagi membantu kerajaan negeri membina lebuh raya baru selain menaik taraf beberapa jalan raya di seluruh Melaka sepanjang baki dua tahun  Rancangan Malaysia kesembilan (RMK-9).

Menteri Kerja raya, Datuk Mohd Zin  Mohamed, berkata peruntukkan itu dipersetujui selepas kajian separuh penggal RMK-9 adalah bagi membiayai projek pembinaan lebuh raya dan jalan raya empat lorong yang jumlah keseluruhannya sepanjang 439 kilometer.

Katanya, antara projek berkenaan adalah membabitkan lebuh raya persisir pantai bermula dari Kuala Linggi hingga ke Samabok, selain jalan baru menghubungkan kampus induk Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UteM) di Durian Tunggal ke Pekan Selandar di Jasin.

"Saya sudah meminta Unit Perancangan Ekonomi menyediakan kajian kos bagi membantu Melaka memiliki rangkaian jalan raya yang selamat dan selesa untuk pengguna, berikutan negeri ini adalah tumpuan pelancong," katanya selepas majlis taklimat kerajaan negeri di sini, baru-baru ini.

Taklimat hampir sejam itu turut dihadiri Ketu Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam

Dalam pada itu, Mohd Ali berharap hasrat kerajaan negeri memiliki rangkaian jalan raya baru dapat dipenuhi segera, susulan pertambahan bilangan kenderaam yang memasuki negeri ini sejak kebelakangan ini.

Katanya, keperluan membina jalan raya empat lorong itu dijangka membantu menyelesaikan masalah kesesakan di beberapa lokasi tumpuan pelancong khususnya di pusat Bandar Raya Melaka Bersejarah.

"Sepanjang tahun lalu, Melaka mencatat kemasukan enam juta pelancongan dan bagi tahun ini, kita jangka bertambah kepada 6.8 juta," katanya  

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian