KUALA LUMPUR: Perdana Menteri meminta Kementerian Kerja Raya menyenarai semula projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) mengikut keutamaan dan keperluan, sejajar peralihan tumpuan kerajaan kepada pengeluaran hasil pertanian bagi memenuhi keperluan dalam negara.
Arahan itu yang dibuat serentak dengan kajian separuh penggal RMK-9 yang kini dilaksanakan kementerian, juga perlu mengambil kira peningkatan harga bahan binaan sehingga menyebabkan keseluruhan kos projek turut meningkat.
Menteri Kerjaraya, Datuk Mohd Zin Mohamed, berkata Kabinet semalam memutuskan supaya kajian separuh penggal RMK-9 yang dilaksanakan kementerian, membabitkan proses penyenaraian keutamaan bagi projek prasarana dan infrastruktur yang memanfaatkan rakyat serta ekonomi.
"Kementerian diminta menyediakan laporan mengenai projek yang surat hasratnya (LOI), sudah diluluskan atau dalam perancangan dan menilai sama ada wajar diteruskan. Kita diminta mencadangkan sama ada perlu batal, tangguh atau kurangkan kos serta skop kerja.
"Saya belum dapat memberi anggaran, tetapi pada dasarnya, pembinaan jalan dan projek yang boleh menambah keselesaan hidup rakyat tetap akan diteruskan atau mungkin ada yang sudah dikeluarkan LOI akan dibatalkan jika dirasakan tidak perlu.
"Kementerian diminta mengemukakan laporan lengkap mengenai perkara itu kepada jemaah menteri dalam tempoh dua minggu lagi,? katanya pada sidang media selepas mesyuarat pasca Kabinet di kementeriannya, di sini, semalam.