6 sekolah Cina daerah Sepang naik taraf | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

SEPANG 25 April - Semua enam Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di daerah ini akan dinaik taraf dan diberi bantuan tambahan bagi memastikan ia setaraf dengan sekolah-sekolah lain. 

Ahli Parlimen Sepang, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, daripada enam sekolah itu, empat menerima bantuan modal sebanyak RM50,000 manakala baki dua sekolah lagi menerima bantuan penuh.

Beliau berkata, peruntukan bantuan modal itu akan disalurkan secepat mungkin bagi membolehkan kerja-kerja membaik pulih sekolah berkenaan dilakukan segera.

''SJKC yang mendapat bantuan modal tidak mendapat peruntukan sepenuhnya daripada kerajaan, jadi mereka tidak mampu membaiki dan membina bangunan tambahan untuk kegunaan pelajar.

''Kita prihatin dengan masalah ini dan bersetuju memberi bantuan untuk kerja-kerja penyelenggaraan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan bersama pengetua-pengetua SJKC bagi mengenal pasti masalah sekolah-sekolah terbabit di sini hari ini.

Menurutnya, sekolah jenis bantuan penuh pula akan diberi bantuan selepas Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat penilaian terhadap masalah sekolah tersebut.

''Sekolah bantuan penuh telah diberi peruntukan sepenuhnya oleh kerajaan. Oleh itu, kita akan buat penilaian terlebih dahulu sebelum bantuan diberikan," katanya. 

Pada majlis itu, Mohd. Zin turut menyerahkan sumbangan pendahuluan sebanyak RM2,000 hingga RM15,000 kepada setiap sekolah mengikut jumlah pelajar untuk menjalankan aktiviti-aktiviti pembangunan pelajar.

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia