Penduduk bimbang syarikat konsesi tutup semula laluan | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

KAJANG - Berang dengan sikap pemaju perumahan dan pihak konsesi menyelesaikan masalah penutupan jalan di Taman Bukit Mahkota, kelmarin penduduknya, mengambil tindakan merobohkan penghadang konkrit yang ada bagi membolehkan mereka menggunakan laluan tersebut.

Jalan yang siap dibina sejak dua tahun lalu itu, merupakan jalan pintas kepada beberapa penduduk seperti Taman Rakan dan Bandar Sungai Long untuk ke pusat bandar.

Kelmarin, beberapa penduduk di situ telah mengambil keputusan drastik membuka laluan tersebut dengan menggunakan jentera berat dan ternyata kebanyakan penduduk yang ditemui berasa gembira walaupun tindakan tersebut disifatkan sebagai 'menceroboh'.

Tinjauan Kosmo! semalam mendapati masih ramai penduduk di kawasan tersebut berasa bimbang memandangkan pihak konsesi berkenaan ingin menutup semula jalan yang telah dirobohkan.

Seorang penduduk, Lee Ywe Sing, 51, memberitahu, penduduk di kawasan itu masih berasa bimbang dengan tindakan pihak konsesi untuk menutup semula jalan tersebut walaupun telah dirobohkan.

"Pada mulanya kami semua rasa lega dengan pembukaan jalan ini tetapi setelah mendengar ura-ura jalan ini akan ditutup semula ternyata telah menimbulkan kemarahan penduduk," katanya.

Ywe Sing menambah, beliau bersama penduduk yang lain akan tetap berada di kawasan itu memantau sehingga perkara itu dapat diselesaikan dengan baik oleh mereka terlibat.

"Buktinya sejak pagi sehingga kini (petang) kami tetap berada di sini bagi memastikan mereka (pihak konsesi) tidak membuat apa-apa dengan jalan yang telah dirobohkan ini," katanya.

Kosmo! sebelum ini pernah melaporkan kesulitan yang dialami oleh penduduk dan dipercayai pihak konsesi akan mengalami kerugian jika pemaju perumahan di kawasan berkenaan membukanya kerana penduduk terpaksa melalui dua tol sebelum sampai ke pusat bandar.

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Kosmo