KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang mengalami kelewatan kerana beberapa masalah, termasuk berhubung proses mendapatkan tanah yang sesuai, reka bentuk terbaik dan peningkatan kos pembinaan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, masalah itu akan dapat diatasi dan tidak memerlukan masa yang lama untuk diselesaikan.
"Ada beberapa perkara yang menyebabkan kelewatan pembinaannya. Pertama, untuk mendapatkan tanah yang diperuntukkan bagi pembinaan jambatan berkenaan dan kedua, perkara berkaitan reka bentuk perlu dipastikan supaya ia terbaik.
"Ketiga, pembinaan ini perlu mengambil kita faktor kos, khususnya kemungkinan berlaku peningkatan kos dengan kenaikan harga barang," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Kebudayaan Asia Eropah (Asem CMM), di sini, semalam.
Mesyuarat berkenaan yang pertama kali dianjurkan di negara ini, membawa tema 'Kepelbagaian Budaya - Merealisasikan Pelan Tindakan' bakal menjadi landasan kerjasama membabitkan kebudayaan antara dua benua.
Sebanyak 43 negara menghadiri mesyuarat berkenaan yang diadakan selama empat hari bermula semalam.
Jambatan Kedua Pulau Pinang akan menghubungkan Batu Kawan di tanah besar dan Batu Maung di bahagian pulau. Jambatan itu mengunjur sejauh 24 kilometer dan apabila siap sepenuhnya, ia akan menjadi yang terpanjang di Malaysia dan Asia Tenggara.
Sebelum ini, beberapa pihak mendakwa pembinaannya lewat dan ia berpunca daripada perjanjian antara UEM Group Bhd dan Konsortium usaha sama China, Harbour Engineering Company (CHEC) dilanjutkan sehingga sembilan bulan daripada jadual asal.
UEM memberi jaminan pembinaannya akan berjalan lancar dan siap seperti dijadualkan pada 2011. Tahun lalu, Malaysia memeterai perjanjian kemudahan pinjaman AS$800 juta (RM2.7 bilion) dengan China Exim Bank dan Bank Pembangunan (Malaysia) Bhd bagi membiayai pembinaan jambatan itu.
Selain itu, Abdullah yang juga Menteri Kewangan berkata, beberapa projek pembangunan yang dirancang di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) juga ada yang dikaji semula berikutan masalah kenaikan kos.
Terdahulu dalam ucapannya, Abdullah mahu kerjasama antara negara digalakkan bagi memperkenalkan hasil kesenian tanpa hanya menumpukan kepada produk tempatan.
Perdana Menteri berkata, kerjasama antara Asia dan Eropah perlu diperluaskan dengan setiap negara sanggup melakukan lebih banyak pertukaran dan mempromosi setiap produk dan kesenian.
"Kita hendaklah sanggup mempromosi bukan saja produk kita. tetapi juga memberi ruang untuk memperkenalkan produk negara lain. Dalam masa sama, produk kita juga hendaklah diperkenalkan di negara lain.
"Ini dapat dilaksanakan berdasarkan kepada kesanggupan kita untuk bekerjasama kerana itulah cara paling baik," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, dialog dan kerjasama antara Asia dan Eropah dalam bidang seni dan budaya harus diperluaskan pada pelbagai peringkat kerana kreativiti dalam kebudayaan juga mampu menghasilkan peluang pekerjaan baru.
Abdullah berharap mesyuarat berkenaan akan mengetengahkan usaha kedua-dua rantau untuk saling bertindak terhadap perubahan yang sedang berlaku pada peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, program pertukaran kebudayaan perlu meliputi semua lapisan masyarakat khususnya generasi muda memandangkan mereka ini memiliki idealisme, kesungguhan dan kreativiti, selain pemimpin pada masa depan.