KUALA LUMPUR 22 April - Kerajaan bercadang memansuhkan permit import (AP) membawa masuk bekalan besi ke negara ini serta tidak lagi menjadikannya bahan kawalan bagi menstabilkan harga pasaran besi yang naik mendadak sejak akhir-akhir ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd. Zain Mohd. Dom berkata, apabila langkah itu dilaksanakan kelak, bekalan dan harga besi akan terikat kepada kehendak pasaran.
Beliau percaya jika cadangan itu diterima, kontraktor yang terlibat dalam industri pembinaan akan dapat membendung kenaikan kos projek masing-masing.
"Jika pemborong atau pengimport boleh mendapatkan bekalan besi dari mana-mana sumber yang murah di dunia, ia akan mendorong pengeluar besi tempatan bersaing dengan merendahkan harga produk mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Mohd. Zain, cadangan-cadangan itu sedang dikaji oleh Jawatankuasa Bagi Membendung Inflasi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Keputusan berhubung langkah mana yang mungkin digunakan oleh kerajaan dijangka diketahui Mei ini.
Banyak kontraktor binaan kini mengeluh kerana harga besi di pasaran tempatan telah mencecah sehingga RM3,500 setan berbanding harga siling yang ditetapkan kerajaan cuma RM2,000.
Katanya, sekiranya kerajaan memansuhkan syarat permit import membawa masuk besi, aktiviti pengimportan besi pada masa depan boleh dilakukan secara bebas oleh mana-mana pihak.
Namun, katanya, langkah membenarkan pengimportan besi tanpa AP semata-mata tidak akan menjamin harga bahan itu diturunkan.
Langkah tersebut perlu dijalankan secara pakej dengan dua lagi kaedah lain yang sedang dipertimbangkan kerajaan untuk memastikan bekalan dan harga besi berpatutan.
Antara syor yang diteliti adalah menyemak kembali harga siling besi di negara ini dari semasa ke semasa dan melakukan perubahan harga mengikut keperluan.
Langkah seterusnya, kata Mohd. Zain, adalah memperkenalkan mekanisme harga automatik iaitu meneliti harga besi setiap tiga bulan sekali dan menaikkan harganya jika berlaku peningkatan harga di pasaran dunia.
"Jika terjadi penurunan harga, respons yang sebaliknya perlu dilakukan," ujarnya.