Kadar tol mungkin turun | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

KUALA LUMPUR: Kerajaan sudah memulakan kajian dan berunding semula dengan semua syarikat konsesi lebuh raya untuk menilai semula kadar tol, termasuk menurunkan kadarnya, kata Menteri Kerjaraya, Datuk Mohd Zin Mohamed. 

Beliau berkata, antara perkara yang diambil kira dalam kajian yang akan mengambil masa tiga bulan itu ialah memerhatikan semula unjuran trafik, klausa perjanjian, kadar tol, tempoh konsesi serta jumlah pembiayaan yang diperlukan bagi sesebuah syarikat membayar balik pinjaman, menyelenggara dan menjalankan operasi. 

Katanya, jumlah pembiayaan itu akan dibandingkan dengan hasil kutipan tol bagi mengelakkan kenaikan kadar tol, malah kemungkinan mengurangkan kadarnya. 

"Satu daripada kemungkinan (ialah bagi menurunkan kadar tol)... sebab itu ini kita panggil kajian kemungkinan. 

"Oleh kerana isu berhubung kait tol banyak dibangkitkan rakyat, kerajaan melalui Kementerian Kerjaraya mengambil langkah untuk berunding semula dengan syarikat konsesi lebuh raya berhubung perjanjian yang dibuat," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini, semalam. 

Katanya, antara yang dinilai termasuk konsesi membabitkan Projek Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) untuk mengklasifikasikan laluan lebuh raya dalam bandar seperti di Lembah Klang bermula dari persimpangan bertingkat Rawang hingga ke persimpangan bertingkat Nilai. 

Syarikat konsesi pula, katanya, diminta menaikkan taraf mutu perkhidmatan supaya pengguna yang mengharapkan perjalanan selesa tidak menghadapi kesesakan lalu lintas luar biasa disebabkan masalah teknikal. 

Katanya, beliau juga meminta kakitangan teknikal kementerian itu melalui Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) supaya mengkaji kadar tol pada konsesi yang sudah dipersetujui tetapi belum dilaksanakan agar tidak membebankan rakyat. 

Sebelum itu, ketika menjawab soalan asal Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, Mohd Zin berkata, kerajaan sentiasa mengambil langkah merundingkan semula perjanjian konsesi lebih raya dengan memasukkan klausa baru dalam perjanjian iaitu mekanisme kajian semula tol yang tidak membenarkan kadar tol sesebuah lebuh raya dinaikkan sewenang-wenangnya dan bergantung kepada jumlah trafik. 

"Sekiranya jumlah trafik tidak melebihi sesebuah nilai, maka kenaikan kadar tol bagi lebuh raya berkenaan boleh dihindari," katanya. 

Katanya, soal pampasan juga akan dilihat semula dan sebarang keputusan rundingan semula akan dipastikan tidak menyebabkan kerajaan dan rakyat menanggung sebarang beban. 

Beliau juga berkata, kajian lain yang sedang dilaksanakan ialah untuk mengasingkan Lebuh Raya Utara-Selatan kepada dua seksyen iaitu seksyen bandaran dan antara bandaran serta memastikan kadar tol bagi seksyen antara bandaran tidak membebankan. 

Katanya, semua keputusan kajian itu akan dikemukakan kepada Kabinet untuk kelulusan. 

Beliau berkata, sehingga Disember 2007, ada 22 lebuh raya bertol beroperasi dalam pengawasan LLM iaitu jumlah keseluruhan pendapatan kumulatif syarikat konsesi itu ialah RM27.6 bilion, manakala keuntungan terkumpul RM3.5 bilion. 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian