Bumbung Parlimen dijamin tidak bocor | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

KUALA LUMPUR 24 April ? Kementerian Kerja Raya memberi jaminan Sidang Dewan Rakyat di Parlimen yang akan bermula Isnin ini akan berjalan dengan lancar tanpa gangguan bumbung bocor seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Menterinya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed memberi jaminan itu setelah beliau meneliti dan mendapat maklum balas mengenai persiapan di dalam dan di luar dewan termasuk keberkesanan sistem audio visual.

"Saya sudah mendapat laporan teknikal dan sudah menelitinya. Setakat ini, saya berpuas hati dengan laporan yang diberikan.

"Saya berharap pada masa hadapan, masalah kebocoran yang melibatkan bumbung Dewan Rakyat yang berusia 46 tahun ini tidak akan berlaku lagi,?? katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan di seluruh kawasan Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Pada 9 Mei tahun lalu, bangunan Parlimen yang baru diubah suai dikesan mengalami enam kebocoran pada bahagian bumbungnya.

Masalah kebocoran bumbung Parlimen juga pernah berlaku pada April 2005, menyebabkan Sidang Dewan Rakyat ditangguh hingga Jun bagi membolehkan kerja-kerja membaiki kerosakan dijalankan dan melibatkan kos RM25,000.

Mohd. Zin berkata, beliau sudah mengarahkan bahagian pengurusan Parlimen dan juga agensi pelaksana Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membuat laporan audit bangunan yang menyeluruh terutamanya yang berkaitan dengan kemudahan elektrikal dan mekanikal.

Beliau juga berharap audit secara menyeluruh itu dapat dibuat secara berperingkat demi peringkat.

Katanya, laporan itu nanti dijangka dapat membantu penggunaan kemudahan di dalam bangunan berkenaan secara optimum.

"Kita sudah melakukan perubahan besar sebanyak dua kali dalam tempoh 46 tahun usia bangunan Parlimen itu. Kebanyakan perubahan besar itu melibatkan perubahan fizikal sahaja iaitu dari sudut kemasan luar.

"Sudut dalaman pula, banyak yang masih tidak diubah seperti bahagian elektrikal dan mekanikal kerana sudah usang dan berusia 46 tahun.

"Kita mahu menjadikan bangunan Parlimen ini sebagai sebuah bangunan yang dapat berfungsi sepenuhnya dan dapat memenuhi tuntutan rakyat," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pakar), JKR, Ir. P. N. Selvanayagam ketika ditemui pemberita memberitahu, pihaknya sudah menjalankan kerja-kerja pembaikan bumbung Parlimen yang bocor sejak Oktober tahun lalu dengan memasang lima lapisan bumbung kalis air buatan Malaysia yang mengandungi pelbagai bahan gentian bermutu.

Katanya, kelima-lima lapisan bumbung itu hanya mampu bertahan selama lima tahun dan ia akan diganti selepas tamat tarikh luput.

??Kami menjalankan kerja-kerja pemasangan dan pembaikan bumbung-bumbung tersebut pada tahun lalu dan memberi jaminan kejadian bumbung bocor tidak akan berulang lagi,?? katanya.

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia