KUALA LUMPUR: Kerja membaik pulih secara besar-besaran dan komprehensif ke atas Bangunan Parlimen yang sudah berusia 45 tahun dijangka bermula Jun ini berikutan kerja membaiki kebocoran bumbung sudah selesai sepenuhnya, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Mohd Zin Mohamed.
Beliau berkata, tempoh kira-kira tiga minggu sewaktu rehat persidangan Dewan Rakyat pada bulan berkenaan adalah sesuai untuk merangka dan memulakan kerja membaik pulih keseluruhan bangunan termasuk di blok menara.
"Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah membuat kerja baik pulih kebocoran di bumbung bangunan. Tapi kena buat baik pulih secara komprehensif, bukan baiki bumbung saja tapi struktur bangunan juga perlu termasuk aspek mekanikal dan elektrikal," katanya.
Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas membuat lawatan kerja meninjau kedudukan baik pulih Bangunan Parlimen sebagai persediaan menjelang persidangan Dewan Rakyat yang dijadualkan pada Isnin depan.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah JKR, Datuk Ir Mohamad Husin, Ketua Pentadbir Parlimen, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria, Pengarah Cawangan Arkitek JKR, Datuk Nurhaizi Abdul Hai dan Timbalan Ketua Pengarah Pakar JKR, Ir R Selvanayagam.
Sebelum ini, akhbar melaporkan punca kebocoran di Bangunan Parlimen disebabkan sampah bahan binaan yang terkumpul di bumbung bangunan hingga merosakkan sistem penyerapan sedia ada.
JKR pula pernah melaporkan ketiadaan penyelenggaraan rutin bumbung Parlimen menyebabkan hakisan dan kelusuhan bahan yang teruk pada lapisan simen permukaan akibat perubahan cuaca, terutama hujan lebat berterusan pada awal tahun lalu.
Mohd Zin berkata, kementeriannya juga sudah mengarahkan JKR supaya membuat audit penuh mengenai segala kemudahan dalam Bangunan Parlimen termasuk Dewan Rakyat.
"Sejak Bangunan Parlimen mula digunakan pada 1963, perubahan besar sebanyak dua kali dibuat sepanjang tempoh 45 tahun iaitu pada 1985 dan 2003. Perubahan fizikal nampak di bahagian luar dan dalam.
"Banyak lagi yang belum berubah selepas 45 tahun itu. Oleh itu, saya minta JKR membuat audit menyeluruh," katanya.
Beliau juga berkata, JKR memberi jaminan tidak akan berlaku lagi kebocoran dan penggunaan peralatan audio yang baik serta tiada gangguan bekalan elektrik bagi memastikan kelicinan persidangan yang pertama sejak Pilihan Raya Umum Ke-12.
Katanya, menteri turut boleh menggunakan kemudahan pejabat di Bangunan Parlimen untuk menguruskan hal ehwal kementerian mereka ketika menghadiri persidangan Dewan Rakyat.
"Saya berpuashati dengan persiapan dalam Dewan Rakyat yang dibuat dan kita mahu supaya menteri menyelesaikan kerja-kerja pentadbiran di sini dan ada masa untuk bertemu rakyat dan pelanggan di sekitar Bangunan Parlimen," katanya.
Sementara itu, Selvanayagam berkata, 'water proofing' baru yang sudah dipasang dijangka boleh digunakan untuk tempoh lima tahun selepas mengambil kira keadaan cuaca di negara ini.
Katanya, kerja membaiki lain termasuk sistem pendawaian dan penghawa dingin akan turut dilakukan.