HARI INOVASI 2011 KEMENTERIAN KERJA RAYA
Kuala Lumpur, 19 Oktober 2011- Kementerian Kerja Raya telah menganjurkan Hari Inovasi 2011 bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid. Hari Inovasi 2011 Kementerian Kerja Raya telah dirasmikan oleh YB. Datuk Seri Shaziman Bin Abu Mansor, Menteri Kerja Raya Malaysia.
Selaras dengan tema Hari Inovasi 2011 pada tahun ini iaitu ‘Inovasi Penggerak Transformasi’, pelbagai program menarik telah diaturkan antaranya Pameran Inovasi yang disertai oleh bahagian-bahagian dan agensi di bawah Kementerian Kerja Raya, Ceramah Inovasi bertajuk ‘Kuasa Minda Positif’ oleh Dr. Yusof bin Rabu (Pro Mind Solutions) dan Persembahan Multimedia. Larian Inovasi juga turut diadakan pada 18 Oktober 2011 sehari sebelum Majlis Perasmian Hari Inovasi yang turut disertai oleh warga KKR.
Acara kemuncak Hari Inovasi 2011 adalah Penyampaian Anugerah-Anugerah Inovasi Tahun 2011 oleh YB. Datuk Seri Shaziman Bin Abu Mansor. Sebanyak 6 anugerah telah diberikan dalam usaha pihak pengurusan menghargai dan memberi pengiktirafan kepada warga Kerja Raya yang telah menunjukkan prestasi dan pemahaman yang mendalam terhadap pengurusan yang berkualiti dan berinovasi.
Penerima Anugerah Tokoh Kerja Raya (ATKR) Tahun 2011 adalah Sr. Amran bin Mohd Majid, Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Kontrak dan Ukur Bahan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR). Bagi Anugerah Khas Menteri Kerja Raya (AKMKR) Tahun 2011, penerimanya adalah Encik Mahaindran a/l Kristnan, Jurutera Awam Bahagian Senggara Fasiliti Bangunan JKR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
YB. Menteri juga mengambil kesempatan melawat ke tapak Pameran Inovasi yang diadakan di dalam dewan.
Turut hadir, Y.Bhg. Puan Sri Dato’ Zaiton Binti Mhad Ali, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi), Y.Bhg. Dato’ Haji Nasir Bin Mat Dam, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Y.Bhg. Dato’ Ir. Hj. Mohd Noor Bin Yaacob, Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Y.Bhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Judin Bin Abdul Karim, Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Y.Bhg. Dato’ Ir. Haji Ismail Bin Md. Salleh, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
- Log in to post comments