JALAN TUJU KE JAMBATAN BATU KAWA SIAP DALAM FASA 2
Sarawak, 16 Disember- Timbalan Menteri Kerja Raya, YB. Dato' Yong Khoon Seng telah merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Menaiktaraf Jalan tuju ke Jambatan Batu Kawa, Kuching Fasa 2. Jalan tuju ini akan dibina dengan kos RM 27.2 juta dan dijangka siap dalam 18 bulan akan datang pada bulan Jun 2013.
Projek bagi Fasa 2 adalah untuk menaiktaraf jalan tuju ke Jambatan Batu Kawa dengan menaiktaraf jalan sediaada 2 lorong 2 hala kepada 4 lorong 2 hala dan juga untuk membaikpulih Jambatan Batu Kawa yang asal supaya setaraf dengan jambatan yang baru dibina. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menjelaskan bahawa kerajaan amat prihatin dan mengambil berat tentang masalah kesesakan lalulintas dan kesannya pada penduduk Batu Kawa. Kerajaan akan terus berusaha dan komited dalam menyediakan kemudahan-kemudahan asas bagi melengkapkan jaringan jalan dan seterusnya merancakkan lagi pembangunan ekonomi khasnya di bahagian Kuching dan amnya di negeri Sarawak.
Turut hadir, YB. Datuk Lee Kim Shin Menteri Muda Sukan dan Perhubungan Negeri Sarawak, Y.Bhg. Dato’ Haji Nasir bin Mat Dam, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), serta pegawai-pegawai kanan kementerian dan kerajaan negeri Sarawak.
- Log in to post comments