PERUNTUKAN RM67 JUTA BAIKI 15 JAMBATAN USANG
Kuala Lipis, 7 Mac – Menteri Kerja Raya, YB. Datuk Seri Shaziman Bin Abu Mansor berkata, Kementerian Kerja Raya telah mendapat peruntukan sebanyak RM67 juta daripada Kementerian Kewangan baru-baru ini bagi membaiki semua jambatan di jalan persekutuan yang sudah uzur dan usang di seluruh negara.
Jambatan tersebut perlu diganti segera kerana dikhuatiri boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya, katanya kepada pemberita selepas melawat kejadian tanah mendap di Jalan Bentong-Jerantut, Pahang. Empat daripada jambatan usang tersebut terletak di negeri Pahang. YB. Menteri turut memberitahu, setiap jambatan akan mengambil masa selama 18 bulan untuk disiapkan.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Kerja Raya, Dato’ Haji Nasir Bin Mat Dam, Ketua Pengarah Kerja Raya, Y.Bhg. Dato’ Ir. Hj Mohd Noor bin Yaacob serta pegawai-pegawai kanan kementerian.
- Log in to post comments